Fadzly Esa
Masih ada segelintir pemimpin dan pengikut ajaran sesat di negara ini masih mengamalkan ajaran sesat walaupun sebelum ini mereka telah ditahan dibawah akta keselamatan dalam negeri (ISA).
Ketua penolong pengarah bahagian pengurusan penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohamad Rais Rasid bagaimanapun berkata, mereka terus memantau aktiviti kumpulan itu walaupun ia tidak dapat menghapuskannya secara keseluruhan.
"Setidak-tidaknya masyarakat awam tahu yang Syiah itu apa," katanya.
Antara tindakan paling 'agresif' terhadap pengikut ajaran itu diambil pada tahun 1997 yang menyaksikan sepuluh ditahan di pelbagai negeri bawah akta ISA selama dua tahun atas alasan mengancam keselamatan negara.
Antara ditahan dua pensyarah universiti, Profesor Lutpi Ibrahim (Universiti Malaya) dan Fadzullah Shuib (Universiti Teknologi Mara).
Kesemua mereka dibebaskan setahun kemudian, kecuali Che Kamarulzaman Che Ismail yang dibebaskan pada awal tahun 1999, tetapi dilaporkan kekal bawah pengawasan ketat.
Dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini, Mohamad Rais juga berkata, penahanan yang dibuat bertujuan supaya masyarakat secara tidak langsung faham mengenai ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah.
Cinta keluarga nabi
Pada masa yang sama, beliau menasihati masyarakat awam supaya peka kerana "maksiat akidah", termasuk ajaran sesat yang lain, amat sukar untuk ditangani.
"Walaupun ada antara kumpulan itu sudah bertaubat (kononnya) tetapi mereka masih juga mengamalkan ajaran tersebut, sebagai contoh pemimpin ajaran sesat Kahar.
"Kahar yang kita dakwa sampai sekarang pengikutnya masih mempercayainya sebagai rasul berdasarkan pemantauan dan bila bersembang-sembang bersama mereka.
Mengulas pengembangan ajaran sesat di kalangan umat Islam negara ini, Mohamad Rais berkata perkara itu dapat dilihat dengan kemunculan laman web dan blog bertentangan dengan syariah dan akidah.
"Tetapi kita masih belum dapat pastikan di mana tempatnya (beroperasi), kerana di blog payah untuk menanganinya. Kalau ada alamatnya itu (memudahkan) kita akan siasat satu persatu secara keseluruhannya," katanya.
Diminta menjelaskan ciri-ciri ajaran Syiah, Mohamad Rais menjelaskan, secara ringkasnya, ajaran itu lebih menekankan perasaan cinta kepada keluarga Nabi Muhammad.
Manakala, daripada amalannya pula lebih untuk mengingati perjuangan cucu Nabi Muhammad, Hassan dan Hussein, antaranya dengan meratap.
Wahabi sama seperti kita
Menurutnya, kalau dilihat di laman perkongsian video Youtube, ada pengikutnya terlibat mencederakan diri sendiri sehingga berdarah.
Malah, Mohamad Rais berkata, mereka menggunakan banyak perkara yang boleh menarik belia-belia sebagai contoh dalam ajaran Syiah, nikah mutaah (kontrak) dihalalkan.
"Sedangkan dalam mahzab Imam Shafie dan (mazhab fekah dalam) Ahli Sunnah wal Jamaah itu sendiri tidak membenarkan dan mengharamkan.
"Walaupun sebelum zaman Nabi Muhamad SAW itu ada, selepas nabi wafat, ia diharamkan," jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, perbezaaan akidah lebih baik dijelaskan oleh pihak mufti.
Sementara itu, ditanya tentang ajaran lain seperti Wahabi pula, Mohamad Rais berkata ajaran itu adalah berdasarkan kepada Al-Quran dan Sunnah serta "sama seperti kita".
Cuma, katanya, terdapat perbezaan kecil dalam tafsiran bidaah dalam agama.
"Tentang tafsiran (wahabi) itu biarlah pihak lain yang menjawab mengenainya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan