Isnin, 27 Disember 2010

Konvensyen Kedua PR menghasilkan kemantapan muafakat menuju PRU-13

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB

Hanya sehari sahaja tempoh bagi Konvensyen Kedua Pakatan Rakyat diadakan pada 19 Disember lalu di Dewan Millenium Kepala Batas berbekalkan dengan 'buku jingga' yang mengandungi dasar bersama.

Hanya sehari jugalah segala kemelut dan kepincangan yang dicanang media Umno/BN kononnya berlaku dalam Pakatan Rakyat, berjaya diselesaikan dengan kebijaksanaan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.

Dengan tema "Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia", keseluruhan perwakilan membangkitkan pelan bertindak menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 secara bersama.

Sambil ada sesetengah yang melaungkan ucapan ke arah muhasabah, Konvensyen Kedua Pakatan Rakyat seperti kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustaf Ali banyak membawa pembaharuan dan kelebihan terutama ke arah kemantapan muafakat.

Benar tahaluf siyasi yang disepakati ketiga-tiga parti PAS, DAP dan KeADILan kini berjaya menemui sentuhan ajaib setelah sebelum ini masing-masing menjamah kelainan dasar dengan sedikit ketegangan.

Penggulungan perbahasan yang dilontarkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi, Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim 'berjaya menjernihkan' ketegangan sebelum ini.

Nada insaf yang dilahirkan Anwar mengakui kesilapan memilih calon mewakili KeADILan dalam pilihan raya umum yang lalu menampakkan keterbukaan, setelah kesilapan itu ditegur Karpal dalam penggulungannya dan sebelum ini oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Lantang Presiden PAS membahaskan penggulungan dengan nada Islami dan disusun dengan ayat-ayat Quran menyokong pandangannya amat disanjung seluruh 2000 perwakilan yang hadir.

Susunan kata yang mantap, dengan ilmunya diakui seluruh perwakilan membuatkan hujah penggulungan Ustaz Hadi menjiwai hasrat ke Putrajaya dengan berbekalkan amilin yang bertaqwa dan mencintai keadilan.

Tawaran negara berkebajikan yang diwar-warkan PAS pada pilihan raya umum lalu menjadi 'buah mulut' perwakilan yang memuji langkah itu sebagai langkah yang sangat bijak.

Kekuatan pemimpin (Ustaz Hadi) yang diakui bersih oleh Setiausaha Agung Keadilan, saifuddin Nasution itu terletak kepada mantik politiknya, dan beliau berjaya membawa sidang bermuhasabah sebelum mempersiapkan jentera menentang penzaliman Umno/BN.

Anak kunci kejayaan yang disandarkan kepada beberapa petua dicernakan dalam ucapannya penuh yakin menampakkan beliau (Ustaz Hadi) 'kepimpinan' yang memimpin.

Sementara sentuhan Karpal yang meletakkan ketegasan menjunjung Perlembagaan Persekutuan, malah mengangkat perjuangan PAS dan sedia menjadikan DAP benteng mempertahankan hak Islam sebagai agama rasmi sebagaimana termaktub dalam perlembagaan.

Ucapan Karpal mendominasi suasana diakhir fasa konvensyen.Sebelum melangkah ke pentas untuk berucap, kehebatan beliau diangkat dalam ucapan aluan moderator, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dengan bekas Speaker Kelantan itu memuji ketegasan Karpal dalam beberapa isu.

Naik sahaja Karpal ke pentas, susunan kata-katanya walaupun 'pelat' dan 'kurang fasih', namun 'screw' nya mampu membenam hasrat media arus perdana untuk memainkan isu Negara Islam sekali lagi.

Tidak kurang juga hujah pembentang kertas kerja antaranya Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa yang membincangkan soal Federalisme; sementara Saifuddin menjengah permasalahan imej polis dan Ketua Pemuda DAPSY, Anthony Loke yang membincangkan tawaran sempena 100 hari jika Pakatan Rakyat menerajui negara.

Di hujung konvesnyen tercerna satu muafakat yang jelas dan pastinya suntingan semangat dari seluruh pimpinan Pakatan Rakyat akan memberi azimat kepada pendukung gabungan ini bekerja keras dan mengetepikan soal perbezaan untuk mencapai tujuan menjatuhkan kerajaan Umno/BN.

11 ulasan:

madd berkata...

kini setiap parti tidak kira BN atau PR masing-masing cuba menjadi lebih baik.

madd berkata...

apa pun, terserah kepada rakyat untuk menilai mana yang baik dan buruk.

mandau berkata...

kemuafakatan mmg perlu diterapkan dalam mana2 organisasi.

Unknown berkata...

Baguslah, kami ingin lihat persaingan yang sihat.

Unknown berkata...

saya rasa tema yang diuar-uarkan tu...tidak kena dengan kemasyuran malaysia pada masa kini...buat apa nak selamat MALAYSIA??? saya rasa anda kena selamatkan parti anda dulu sebelum ia karam...

Unknown berkata...

Malaysia sentiasa selamat dengan pemimpin yang sedia ada...tak payah nak pilih PR baru negara akan selamat....PR saya lihat parti yang mengancam keselamatan negara

tombolo berkata...

harap ia benar2 menghasilkan sesuatu yng positif.

Unknown berkata...

Good Luck and we'll see...

Awanama berkata...

We'll wait and see what PR can do after this.

nickko berkata...

apa yang mampu dilakukan oleh PR sejak akhir2 ini hanya memuji2 parti mereka sendiri dan menjual pembohongan untuk terus kekal berpolitik. realitinya PR sudah mula ditolak rakyat dan buktinya adalah PRK Galas dan Batu Sapi, ditambah dengan pendedahan demi pendedahan kekotoran dalam PR akhirnya memaksa mereka melafazkan janji 100 hari semata2 mahu mengaburi mata rakyat.

Sanih Alias berkata...

Biar kita tengok sendiri siapa yang lebih baik bagi rakyat. Kerana bukan parti itu sendiri yang meilih akan menjadi kerajaan tapi pilihan adalah dari rakyat sendiri.