Jumaat, 3 Disember 2010

Penganggur Malaysia berkurangan



BERNAMA

PUTRAJAYA – Malaysia mencatatkan pengurangan dalam jumlah pengangguran iaitu 364,200 pada September lepas berbanding 413,700 tahun lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam berkata, ini menunjukkan satu tanda positif memperbaharui kekuatan perniagaan, meningkatkan keyakinan pihak yang berkepentingan dan akhirnya pemulihan ekonomi.

Dalam ucapan pada majlis penyampaian sijil K-Workers Development Initiatives (KID) di sini, katanya jumlah pengangguran meningkat kepada 3.6 peratus pada tahun lepas kepada 413,700 daripada 3.1 peratus pada 2008.

KID ialah satu inisiatif yang diilhamkan oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dalam usaha mewujudkan kecekapan tenaga kerja yang tinggi serta berpengetahuan Maklumat, Komunikasi dan Teknologi (ICT).

Dr Subramaniam berkata, kementerian itu akan terus menyokong MDeC dalam wawasannya untuk mewujudkan 85,000 pekerjaan menjelang 2015.

“Kita menggesa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk terus mengukuhkan hubungan dengan MDeC agar pelajarnya dapat memperoleh peluang pembangunan bakat MSC Malaysia tawarkan dan untuk majikan sektor wasta menyumbang dalam pewujudan pekerjaan,” katanya.

Dr Subramaniam berkata lebih 6,000 pelajar dan 400 pensyarah dilatih dan dilengkapkan dengan kemahiran dan pengetahuan berkaitan industri menerusi pelbagai Inisiatif Pembangunan K-Workers.

“Saya harap kerjasama ini akan diperluaskan dengan penyertaan dan komitmen tinggi daripada penggerak sektor swasta.”

“Ini dilihat dengan pengumuman penubuhan sekolah ICT melatih 25,000 k-workers yang akan membawa MSC Malaysia kepada fasa ketiga pembangunannya,” katanya.

KID menawarkan lima program, kemahiran pelajar; latihan pelajar dan pembangunan; pelatih graduan; latihan dan peningkatan kemahiran; kem kerja; dan kerjasama industri dan akademia. - Bernama

Tiada ulasan: