Jumaat, 3 Disember 2010

HIV: Jangkitan kanak-kanak meningkat



BERNAMA

KUALA LUMPUR - Sekalipun jangkitan baru HIV menunjukkan trend menurun di rantau ini, HIV/Aids masih menimbulkan masalah kesihatan serius, dengan kanak-kanak merupakan kumpulan paling mudah dijangkiti.

Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi rantau Asia Tenggara, Dr Samlee Plianbangchang berkata, jangkitan kanak-kanak meningkat sebanyak 46 peratus antara 2001 dan 2009.

Beliau bagaimanapun berkata, penghapusan jangkitan HIV ibu-ke-anak menjelang 2015 mungkin dapat dijayakan dan WHO komited mencapai matlamat ini.

“Ancaman HIV/Aids terhadap kanak-kanak menggariskan perlunya memperkukuh sistem kesihatan di peringkat penjagaan kesihatan asas dan menggabungkan langkah pencegahan HIV khas dalam perkhidmatan kesihatan ibu dan anak,” kata beliau.

Dalam satu kenyataan bersempena sambutan Hari Aids Sedunia semalam, Dr Samlee berkata, di peringkat global, anggaran 33.3 juta orang hidup dengan virus itu, dan 2.6 juta dijangkiti pada 2009.

Di rantau Asia Tenggara WHO berkata, 3.5 juta orang hidup dengan HIV/Aids, kebanyakan di India, Indonesia, Myanmar, Nepal dan Thailand.

Menurut WHO, pada 2009, terdapat anggaran 220,000 jangkitan baru HIV di rantau ini dan 230,000 orang mati akibat penyakit berkaitan Aids.

Penduduk dengan risiko tertinggi mendapat HIV termasuk pekerja seks wanita, lelaki yang mengadakan seks dengan lelaki, populasi mak nyah dan mereka yang menyuntik dadah. Ia berkata isu akses penjagaan kesihatan, rasa hina dan jahil, dan pentingnya menyekat jangkitan HIV kepada generasi baru merupakan perkara asas terhadap respons kepada HIV/Aids.

WHO berkata, di peringkat serantau, wanita terdiri 37 peratus daripada 3.5 juta orang yang mempunyai HIV/Aids, dan tanpa langkah perlu, kira-kira satu pertiga dari kanak-kanak dilahirkan oleh ibu yang positif HIV boleh mendapat virus itu.

Sementara virus tersebut boleh berjangkit kepada bayi semasa kehamilan, kelahiran atau penyusuan, hanya satu dari setiap tiga wanita positif HIV pada masa ini mendapat rawatan ‘prophylactic anti-retroviral’ (ART) di rantau ini.

Tiada ulasan: