SELANGOR KINI
SHAH ALAM – Juara program ‘Sehati Berdansa’ musim ketiga, Syed Hussein Syed Mustafa atau Sein, dan isterinya, Noor Diyana Muhammad atau Nana bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.
Memetik laporan Bernama, Sein, 27, melafazkan cerai selepas mahkamah membenarkan permohonan Nana, 26, yang merupakan anak bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib, untuk bercerai secara baik mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Negeri Selangor 2003.
Prosiding perceraian dijalankan di hadapan Hakim Syarie Zainor Rashid Hassin.
Pasangan itu menjuarai musim terakhir program realiti itu yang merupakan pertandingan tarian khusus untuk pasangan selebriti.
Peguam Syarie, Zuri Zabudin Budiman yang mewakili Noor Diyana, memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya memfailkan permohonan itu atas alasan pasangan itu tidak lagi dapat menjalani kehidupan bersama kerana tiada persefahaman.
Zuri berkata pasangan suami isteri itu masih tinggal serumah tetapi tidak lagi tidur bersama dan telah wujud perbalahan yang berpanjangan antara mereka.
“Pelbagai usaha telah dilakukan termasuk rundingan oleh keluarga masing-masing tetapi tidak ada keputusan dicapai untuk memperbaiki hubungan. Memandangkan defendan (Sein) dikenali ramai jadi mohon kebenaran untuk bercerai cara baik,” katanya.
Sejurus Sein melafazkan talak, Zainor memerintahkan Noor Diyana menjalani tempoh edah selama tiga kali suci bermula hari ini.
Zainor juga memerintahkan Sein dan Noor Diyana mendaftarkan perceraian mereka di Jabatan Agama Petaling Jaya dan membatalkan surat nikah.
Pasangan itu yang bernikah pada Julai 2006 dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Syed Tamriz Al-Qudsy, 3, dan Sharifah Inaiya Al-Qudsy, 1.
Mahkamah turut merekodkan persetujuan bersama Sein dan Noor Diyana merangkumi nafkah edah, mutaah, hak penjagaan dan lawatan anak-anak serta perbelanjaan persekolahan dan perayaan kedua-dua anak mereka.
Pasangan itu juga bersetuju untuk tidak membuat sebarang tuntutan berhubung harta sepencarian mereka.
Zainor berterima kasih kepada kedua-dua pihak kerana menyelesaikan isu perceraian mereka secara baik dan mengikut peraturan.
“Sebagaimana bila bernikah, begitu juga bila nak bercerai, datang kepada institusi yg bertanggungjawab iaitu mahkamah. Dalam Islam setiap masalah ada penyelesaian, semasa nak nikah ambil cara baik dan bila nak lepas, lepaskan cara baik,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan