Selasa, 26 Oktober 2010

Umno-BN Tabur Projek Mee Segera Di Galas

Oleh Fazli Othman

WEKUALA LUMPUR - Umno-Barisan Nasional tidak boleh lari dengan sikap menabur janji projek mee segera apabila mengumumkan akan memperuntukkan RM180 juta bagi membina 1,500 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk disewakan dan dijual kepada penduduk miskin dan berpendapatan rendah di jajahan Gua Musang.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Abdul Wahid Endut meminta pengundi khususnya di Galas agar tidak terpedaya dengan janji dan gula-gula politik yang mula ditaburkan Umno-BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan 4 November, depan.

Beliau berkata parti lapuk itu terpaksa berjanji pelbagai projek kerana itu merupakan cara mereka mengumpan rakyat.

"Persoalannya di sini, dalam banyak PRK yang telah diadakan, banyak lagi projek yang tidak terlaksana seperti di Manek Urai, janji jambatan tapi sampai sekarang pun tidak ada.

"Janji semasa PRK Kuala Terengganu kononnya akan memulangkan semula royalti minyak, janji tinggal janji," ujarnya ketika ditemui Suara Keadilan di lobi Parlimen.

Abdul Wahid dalam pada itu menggesa supaya rakyat tidak mempercayai tipu daya Umno-BN kerana apa yang berlaku di Galas, adalah perkara serupa yang diulang-ulang setiap kali PRK.

Sebelum itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan Umno-BN tidak akan melayan mana-mana tuntutan termasuk usul pembinaan sebuah universiti oleh Pergerakan Wanita Umno Bahagian Gua Musang.

Dalam pada itu, beliau turut berkata pada umumnya kerajaan Umno-BN juga tidak akan belanja banyak untuk projek mee segera di Gua Musang.

Tiada ulasan: