Rabu, 6 Oktober 2010

Sidang meja bulat `wanita pertama’ 10 Okt

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Solidariti Wanita Muda Malaysia (SWiMM) akan menganjurkan sidang meja bulat khas membincangkan isu perlabelan "wanita pertama" terhadap isteri Perdana Menteri, Datin Sri Rosmah Mansor.

Sidang bertajuk "Kewajaran Rosmah Mansor Sebagai Wanita Pertama Malaysia" itu akan diadakan pada 10 Oktober dengan menampilkan pakar perlembagaan Prof. Dr Aziz Bari yang juga pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai panelis.

Tiga lagi panelis bersama adalah wakil Ahli Parlimen wanita Pakatan Rakyat dan dua wakil dari NGO wanita negara.

SWiMM dianggotai beberapa pertubuhan wanita, manakala anjuran sidang meja bulat tersebut adalah dengan kerjasama Lajnah Penerangan dan Dakwah Dewan Muslimat PAS Pusat.

Menurut Ketua Koordinator program tersebut Aiman Atirah A-Jundi, penganjuran program tersebut bagi membincangkan kewajaran serta kesan penggunaan label "wanita pertama" isteri perdana menteri dari sudut perlembagaan, belanjawan dan adab susila rakyat negara ini.

"Kita bangkitkan isu ini bukan sebab Rosmah Mansor, tetapi kerana ianya satu pelanggaran kepada perlembagaan kita yang dah ada. Kita mengamalkan konsep raja perlembagaan bukan republik.

"Artilkel 32 (2) menyatakan bahawa pemimpin utama negara adalah Yang Di Pertuan Agung. Tidak ada ungkapan wanita pertama dalam perlembagaan, yang ada hanya Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, tempat program akan diumumkan kemudian dan akan diadakan di sekitar Lembah Klang.

Selain implikasi kepada sejarah negara, perbincangan meja bulat itu juga jelasnya akan menumpukan kesan terhadap bajet negara menanggung kos dan perbelanjaan program "wanita pertama".

"PM ke luar negara pun akan disentuh dalam bajet, dan tentunya sebarang program "wanita pertama" akan melibatkan peruntukan besar sedangkan ianya tidak termaktub dalam peruntukan bajet negara.

"Dan terbaru dia pergi ke Belgium atas sifat dia sebagai wanita pertama, adakah wang yang dibelanjakan itu dikira sebagai kos melepas belanjawan negara di mana rakyat lebih memerlukan?" soalnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa SWiMM akan mengadakan sidang media membuat bantahan rasmi ke atas perlabelan Rosmah sebagai wanita pertama.

Mereka berpendapat, tindakan Rosmah termasuk pihak yang mempromosikannya sebagai "wanita pertama" adalah derhaka dan secara tidak langsung membelakangi konsep raja perlembagaan dan Permaisuri Agung.

"Apa yang Rosmah Mansor buat ini adalah bukan konsensus dari rakyat dan tidak pun dibincangkan dan ini melanggari tata susila adab bangsa kita.

"Ini satu pelanggaran dan penghinaan yang didiamkan, dan atas rasa hormat kita kepada yang Permaisuri Agong, kita bangkit mempertahankan baginda.

Sebelum ini banyak pihak membantah penganjuran sidang kemuncak First Ladies oleh Rosmah yang dijadual berlangsung 11 hingga 13 Oktober ini yang disifatkan sebagai 'tidak sopan' dan membelakangkan kedudukan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Teguran sama sebelum ini juga pernah dibuat selepas iklan berwarna dua halaman penuh memaparkan Rosmah di akhbar New York Times pada April lalu.

Ianya sebagai ucapan tahniah kepada isteri perdana menteri itu dengan tajuk 'Rosmah Mansor, Wanita Pertama Malaysia' kerana menerima anugerah Keamanan dan Harmoni Antarabangsa 2010.

Tiada ulasan: