Jumaat, 1 Oktober 2010

PPSM kesal lewat bentang rang undang-undang keluarga Islam WP


mohd Oleh Muda Mohd Noor dan Qayum Rahman

PETALING JAYA: Penasihat Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM), Datuk Muhamad Burok kecewa mengenai kelewatan pembentangan rang undang-undang keluarga Islam Wilayah Persekutuan.

"Sudah tiada sebab lagi kelewatan rang undang-undang tersebut dibentang dan dilaksanakan di Wilayah Persekutuan," katanya semalam.

Beliau berkata, "isu itu telah dibincangkan dengan banyak pihak termasuk beberapa badan Islam bukan kerajaan (NGO) yang membantah seperti Sisters-In-Islam.

"Selepas diberi penerangan tidak ada lagi bantahan terhadap rang undang-undang tersebut," katanya.

Muhamad berkata, rang undang-undang itu hanya menambahbaik sedia ada termasuk isu poligami yang sebelum ini dibantah oleh beberapa NGO Islam.

Katanya, kini hanya Wilayah Persekutuan sahaja yang belum meluluskan rang undang-undang keluarga Islam.

"Kelantan menjadi negeri pertama meluluskannya pada tahun 2002 manakala negeri lain pada tahun berikutnya," katanya.

Jauh lebih baik

Sementara itu, Pengarah Undang-undang Sisters-In-Islam, Ratna Osman berkata, pihaknya menerima baik Rang Undang-undang Keluarga Islam yang bakal dibentangkan di Parlimen tetapi pindaan itu nanti perlu jauh lebih baik dari pindaan terdahulu pada 2006.

Beliau berkata, pindaan yang bakal dilakukan perlu lebih ke arah membela dan melindungi wanita Islam terutamanya yang telah dizalimi dan dikhianati oleh suami yang kebanyakannya mementingkan berpoligami tanpa kerelaan.

"Rang Undang-undang Keluarga Islam ini perlu kepada pindaan secara tetap dalam usul berpoligami kerana kebanyakan wanita Islam sekarang ini mengalami masalah selepas suami berpoligami hingga ada yang diabaikan dan ditinggalkan.

"Kita harap bentangan usul pindaan rang undang-undang keluarga Islam ini dapat dinilai semula sepenuhnya sebelum dibentangkan lebih lanjut supaya bersikap adil terhadap wanita.

Ketika ditemui di satu majlis di ibu negara, Rabu lalu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom berkata, kementeriannya masih menunggu keputusan daripada Majlis Raja-Raja sebelum dapat membentangkan rang undang-undang itu di Parlimen.

"Kita akan terus bentangkan Rang Undang-Undang tersebut sejurus mendapat kata putus daripada Majlis Raja-Raja," katanya.

Tiada ulasan: