Oleh A Kadir Jasin
BUKAN mudah bagi BN menggalas Galas dan mengangkat Batu Sapi. Kerusi DUN Galas, Kelantan milik Pas manakala kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah walaupun disandang BN, namun menghadapi pertandingan sengit tiga penjuru.
Di Galas, BN (Umno) berdepan dengan Pas. Pas akan disokong oleh DAP dan PKR. BN mengemukakan setiausaha bahagian Gua Musang, Abdul Aziz Yusoff, manakala Pas menawarkan seorang ahli profesional, Dr Dr Zulkefli Mohamad, 45 tahun.
Pada pilihan raya umum 2008, calon Pas Chek Hashim menewaskan calon BN Mohamad Saufi Deraman dengan kelebihan undi sebanyak 646. Beliau mendapat 4,399 undi berbanding Mohamad Saufi 3,753. Sebanyak 80.89 peratus keluar mengundi.
Di Batu Sapi, BN yang meletakkan balu mendiang Edmund Chong, Linda Tsen Thau Lin, 54 dari PBS akan ditentang oleh bekas Ketua Menteri, Yong Teck Lee mewakili Parti Progresif Sabah (SAPP) dan peguam Ansari Abdullah mewakili PKR.
Hakikat bahawa Batu Sapi sangat penting kepada BN dan PKR diserlahkan oleh kehadiran Timbalan Pengerusi BN merangkap Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, dan Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Setelah gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada awal 2009 dan Sibu (Sarawak) Mei lalu, BN tidak mampu kalah di Batu Sapi. Kekalahan di Batu Sapi akan menjadi petanda buruk kepada kemampuan BN mempertahankan kesepaduan sokongan di Sabah. Pada PRU 2008, BN menang 24 daripada 25 kerusi Parlimen di negeri itu. Kerusi tunggal pembangkang dimenangi DAP.
Dalam PRU 2008, mendiang Ir Edmund Chong Ket Wah dari BN (PBS) mengalahkan calon bebas Dr Chung Kwon Wing (bebas) dengan majoriti 3,708. Beliau mendapat 9,479 undi manakala Dr Chung mendapat 5,771. Hanya 63.6 peratus keluar mengundi dan undi yang ditolak agak banyak –730 – membayangkan wujud unsur protes.
Faktor Ku Li Di Galas
DALAM keadaan biasa, pilihan raya kecil Galas tidaklah menjanjikan apa-apa di luar jangkaan. Tetapi keadaan menjadi tidak biasa, walaupun bukan luar biasa, apabila BN melantik Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah PRK itu.
Seperti kita maklum, Ku Li adalah Ahli Parlimen Gua Musang dan Galas adakah salah satu daripada tiga kerusi DUN dalam kawasan itu. Dua lagi adalah Paloh dan Nenggiri yang dimenangi BN. Pada PRU 2004, Galas dimenangi BN.
Ada pendapat mengatakan pelantikan Ku Li adalah tepat kerana Gua Musang adalah “empayar” beliau dan beliau berupa pemuka Umno yang paling kanan dan, boleh jadi juga, paling popular di Kelantan sekarang kerana pendiriannya mengenai isu royalti petroleum negeri itu.
Malah ada yang berpendapat, jika BN berjaya merampas kembali Galas atau setidak-tidaknya mengurangkan majoriti Pas, imej Ku Li akan mendapat anjakan dan sesuai dijadikan ketua de facto Umno Kelantan bagi menghadapi PRU akan datang.
Ini bukanlah sesuatu yang mustahil atau luar biasa, malah berupa salah satu formula yang berkemungkinan membawa kejayaan kepada BN/Umno. Untuk itu, kita perlu berbalik kepada sejarah.
Pada tahun 1977, Ku Li menjadi wajah Umno dalam krisis kepemimpinan BN Kelantan yang tercetus akibat perselisihan antara Presiden Pas, Allahyarham Asri Muda dan Menteri Besar, Allahyarham Mohamad Nasir, yang juga dari Pas.
Apabila perkelahian itu mencetuskan tunjuk perasaan di Kota Baru dan persidangan DUN diganggu oleh penunjuk perasaan, darurat diisytiharkan, pemerintahan Kelantan diambil alih oleh kerajaan pusat dan seorang Pengarah Kerajaan dilantik mentadbir Kelantan.
Dalam tempoh itulah, Allahyarham Tun Hussein Onn, memberi mandat kepada Ku Li menerajui pembangunan Kelantan sebagai ketua de facto Umno/BN. Ku Li memperkenalkan Rancangan Pembangunan Kelantan dan dalam tempoh itulah pembangunan Kelantan, khasnya daripada aspek infrastruktur ekonomi dan sosial, paling rancak.
Pada akhir tahun 1977 Pas disingkirkan daripada BN dan dalam PRU 1978 BN menewaskan Pas dan memerintah Kelantan sehingga tahun 1990 dengan Ku Li sebagai ketua de factonya.
Pada PRU 1990, Ku Li membantu Pas merampas semula Kelantan daripada BN melalui parti barunya, Parti Melayu Semangat 46. Beliau menubuhkan pakatan pilihan raya dengan Pas, Barisan Jemaah Islamiah se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) yang diberi nama Angkatan Perpaduan Ummah (Apu). APU menyapu bersih kesemua 39 kerusi DUN Kelantan -- 24 Pas dan 15 Semangat 46.
Tetapi jiwa Ku Li adalah jiwa Umno. Apabila perselisihan beliau dengan Dr Mahathir Mohamad reda dan pengaruh Semangat 46 semakin merosot, pada bulan Mei 1996, Ku Li mengumumkan kepada 200,000 ahli parti itu yang beliau akan membubarkan Semangat 46. Parti itu dibubarkan dalam bulan Oktober dan majoriti ahlinya menyertai Umno semula.
Dalam PRU 2008, hanya dua orang pemuka BN Kelantan masih berdiri. Salah seorang daripadanya adalah Ku Li dan seorang lagi, Mustapha Mohamed aka Tok Pa. Yang lain hanyut. Bagi saya, dua orang inilah yang masih menjanjikan harapan bagi BN kembali menguasai Kelantan.
Belum Ada Formula Berkesan BN Tawan Kelantan
SETELAH pelbagai formula dilaksanakan dan berbagai watak dilantik mengetuai Umno Kelantan, BN terus gagal menakluki semula negeri itu. Hatta pada tahun kemuncak kejayaan BN iaitu dalam PRU 2004, BN masih gagal menjatuhkan Pas.
Siapa tahu, mungkin dengan memberi peranan lebih besar kepada Ku Li, BN mampu bermimpi dengan lebih realistik untuk memperbaiki prestasinya di negeri itu, bermula dengan Galas.
Tetapi kalau Umno dan BN terus menggunakan pendekatan “carpet bombing” dengan menggula-gulakan pengundi, harapannya untuk menang mungkin tidak secerah yang diuar-uarkan. Kesombongan, tunjuk kuat dan tunjuk kuasa semakin tidak berkesan sebagai strategi pilihan raya.
Ahli dan penyokong Umno sendiri semakin mengakui kesederhanaan dan keakraban pemuka-pemuka Pas. Mereka sentiasa di padang bersama rakyat jelata berbanding pembesar Umno yang semakin elitis dan eksklusif walaupun Presiden Umno sendiri, Mohd Najib Abdul Razak, kini menjadikan keterangkuman (inclusiveness) dan keadilan sosial mantera beliau.
Buat masa ini, ramalan memberikan BN dan Pas peluang yang sama rata untuk memenangi Galas. Tetapi di segi kelulusan, nampaknya calon Pas menyerlah. Inilah yang nampaknya memberi Pas kelebihan sejak sedekad dua ini.
Pas mampu mengemukakan ramai calon profesional dan berwibawa, sedangkan Umno masih terperangkap dalam sistem mafia dan warlords di mana kepemimpinan yang sedia ada sangsi, curiga dan takut dengan kemasukan ahli muda dan golongan profesional.
Selagi amalan menyekat kemasukan ahli muda dan golongan profesional ini berterusan, selagi itulah kepemimpinan muda akan tersisih dan memberi peluang mudah kepada Pas untuk mendapat suntikan darah muda.
Namun bagi PRK Galas, Pas pastinya bimbang situasi Manik Urai di mana BN hampir-hampir merampas kerusi DUN itu Julai lalu akan berulang. Apatah lagi ia menang di Galas dengan kelebihan undi yang lebih kecil berbanding Manik Urai. Bagi BN, kalau trend Manik Urai berterusan, harapannya menang adalah baik.
Silap-Silap Sapi Terlepas Batu Hilang
SITUASI di Batu Sapi dikatakan lebih membimbangkan bagi BN kerana bukan sahaja akan berlaku perlawanan tiga penjuru, tetapi juga kerana BN akan berdepan yang calon yang pada PRU lalu adalah rakan akrab.
BN meletakkan balu mendiang Edmund Chong, Linda Tsen Thau Lin, 54, mewakili BN, bekas Ketua Menteri, Yong Teck Lee mewakili Parti Progresif Sabah (SAPP) dan peguam Ansari Abdullah mewakili PKR.
Dalam PRU 2008, SAPP adalah parti komponen BN Sabah. Ia keluar BN dalam bulan September 2008 ketika khabar angin bertiup kencang mengatakan Anwar Ibrahim akan melakukan rampasan kuasa Parlimen menjelang Hari Malaysia pada 16 September.
Kesimpulan
BAGI BN, keputusan pengundian PRK Galas dan Batu Sapi pada 4 November ini adalah penerusan ujian penerimaan pengundi terhadap kepemimpinan Perdana Menteri Mohd Najib dan dasar-dasar serta rancangan yang ditajanya sejak mengambil alih pemerintahan negara 18 bulan lalu.
Sejak PRU 2008, sebanyak 11 PRK telah diadakan, sembilan daripadanya dalam era Mohd Najib. Daripada jumlah itu, empat disandang BN. Selebihnya adalah kerusi parti-parti lawan. Daripada empat kerusi yang disandangnya BN itu, ia hanya berjaya mempertahankan dua, kalah satu dan berjaya merampas sebuah kerusi lawan. Ini bermakna BN mengalami defisit satu kerusi. BN berjaya merampas kerusi Parlimen Hulu Selangor daripada PKR tetapi kalah Kuala Terengganu kepada Pas dan Sibu kepada DAP.
Jadi, merampas Galas dan mempertahankan Batu Sapi adalah sangat utama dan mendesak bagi BN. Selain isu maruah, dua PRK ini menjadi barometer kepada iklim politik semasa yang akan mempengaruhi penentuan bila PRU akan datang akan diadakan.
Bagi DAP, PKR dan Pas pula, dua PRK ini menguji persepsi dan penerimaan pengundi terhadap gagasan longgar mereka dan reaksi kepada perkembangan terbaru yang melanda kepemimpinan mereka.
Perkembangan di sekitar perbicaraan liwat 2 Anwar, perebutan sengit jawatan dalam pemilihan PKR, pergolakan dalaman DAP dan perselisihan faham antara Pas dan DAP mengenai Negara Islam, Hukum Hudud dan sekularisme pasti akan diperalatkan oleh BN.
Manakala bagi BN, ujian terbesar ialah sama ada pengundi bukan Melayu yakin terhadap dasar berlembut dan bertolak ansur Mohd Najib serta pemulihan parti-parti komponen yang mewakili Cina dan India. Apa pun, kita tunggu dan lihat.
http://kadirjasin.blogspot.com/
24 ulasan:
Galas dan Batu Sapi menjadi perhatian pada ketika ini. calon yang bertanding bukan saja berjuang untuk menang tapi perlulah bertanggungjawab terhadap rakyat.
Kita tengoklah bagaimana keputusan selepas PRK itu diadakan.
Apa-apa pun, diharapkan para pengundi akan memilih calon yang terbaik.
Memang bukan mudah, tapi kami percaya BN pasti akan dapat melakukan yang terbaik untuk memenangi kerusi tersebut.
Keudua tempat ini memang mempunyai sejarah untuk BN. Galas pernah diduduki oleh BN dan tidak mustahil BN akan menawannya lagi dan Batu Sapi pula memang berturut-turut telah dimenangi oleh BN dan BN memang kuat di Batu Sapi. Apa pun BN jangan lalai dan ambil endah tak endah, kerana mugkin pembangkang ada rancangan tersendiri.
BN pasti akan menang dan berjuang untuk rakyat Sabah. kita mesti sokong BN/PBS untuk membantu rakyat Sabah. Selamat berjuang BN.
Selamat berjuang kepada semua calon. Pastikan bertanding secara bersih dan adil.
BN tetap mempunyai kelebihan dikedua2 kawasan PRK.. tapi kelebihan itu masih belum cukup untuk menjamin kemenangan dipihak BN. teruskan usaha dan gunakanlah kelebihan masing2 sebaik mungkin.
saya harap kali ini rakyat terutamanya pengundi2 di Batu Sapi dan Galas sudah cukup matang dalam membuat pilihan dan tidak mudah terpedaya dengan janji2 mana2 parti yang bertanding. buatlah pilihan yang terbaik untuk kebaikan masa depan kawasan masing2.
dalam piliharaya batu sapi dan galas, sukar nk menjangkakan siapa yang menang, setiap parti ada kekuatan masing2. kita lihat saja pada piliharaya nnti
calon yang bertanding perlulah bersungguh-sungguh untuk berkhidmat kepada rakyat. lakukanlah yang terbaik untuk rakyat...
tidak se-mudah yang disangkakan bagi parti=parti lain menumbangkan BN di Batu Sapi.
Tinjauan saya, sokongan rakyat terhadap BN semakin meyakinkan. Ini kerana kerajaan peka akan keperluan rakyat.
Pertandingan sengit tiga penjuru merupakan satu petanda baik bagi BN.
Undi BN stabil, bukan mudah dirampas pembangkang. Manakala undi pembangkang dibahagi oleh SAPP dan PKR, kemenangan memihak pada BN di Batu Sapi.
Berjuta-juta ringgit akan dicurahkan ke dua kawasan ini.
Polpularnya Galas & Batu Sapi sekarang.. hehe
Setiap calon yang bertanding mempunyai kelebihan masing-masing.. Jadi terpulanglah pada rakyat untuk membuat pilihan yang terbaik.
Walaupun PRK ni agak sengit, namun saya harap calon bertanding dengan cara bersih dan jangan cuba menganiaya pihak lain.
Ya tombolo. Sukar nak jangak siapa yang bakal menang.. Tapi saya mmg tak sabar nak tahu, mampukah Datin Linda menambat hati pengundi...
Apapun, biarlah pengundi BS yang tentukan sendiri. hehe
Peluang adalah untuk pihak yang cukup penyediaan terhadap apajua situasi.
Apa pun keputusan pilihanraya kecil Batu Sapi dan Galas, pertandingan hangat tidak dapat dielakan.
Menang kalah pengundi yang menentukan. Sekali lagi pengundi di kedua kawasan ini diberi perhatian dan kemanjaan yang sepenuhnya dengan segala janji manis dari parti yang bertanding.
Pilih dengan bijak seakan kamu memilih pasangan.
Sekali lagi kawasan yang lazimnya kurang dapat perhatian kini jadi fokus media dan rakyat Malaysai yang mengambil berat terhadap politik negara.
Catat Ulasan