Selasa, 19 Oktober 2010

Model politik baru dijangka fokus usaha bersihkan imej Umno



KUALA LUMPUR — Penganalisis dan pemerhati politik melihat usaha Datuk Seri Najib Razak yang mahu membawa model politik baru Umno akan memberi tumpuan terhadap aspek perkhidmatan kerana pemimpin parti dominan BN itu didakwa seakan-akan sudah lupa peranan mereka kepada rakyat.

Sabtu lalu, Najib yang juga Presiden Umno mengusulkan kemungkinan diwujudkan model politik baru bagi memastikan kelangsungan Umno sebagai parti yang menerajui pemerintahan negara.

Mengulas usaha terbaru Najib ini, pensyarah kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, model politik baru tersebut perlu membawa Umno ke hadapan berbanding parti politik lain.

“Sebenarnya saya tidak jelas lagi mengenai politik baru yang hendak di bawa Perdana Menteri, tetapi bagi saya ia mesti model yang boleh membawa Umno ke hadapan.

“Ia juga perlu memberi tumpuan untuk melakukan perubahan dalam mendapatkan semula kepercayaan rakyat,” kata beliau.

Beliau berkata, model politik baru itu juga perlu menekankan aspek perkhidmatan Umno kepada rakyat.

“Bagi saya, model politik baru ini juga perlu memberi tumpuan kepada perkhidmatan Umno kepada rakyat atau apa yang kita boleh cakapkan sumbangan parti dan pemimpin kepada rakyat yang berada di bawah.

“Ini yang penting kerana saya lihat pemimpin-pemimpin Umno sudah lupa akan tanggungjawab mereka kepada rakyat, lupa apa perkhidmatan yang perlu diberikan.

“Jadi model politik baru ini perlu mengembalikan semula peranan Umno, ia juga perlu mencerminkan diri sebenar Umno iaitu mesti mempunyai imej bersih,” katanya.

Azizuddin berkata model politik baru itu juga perlu memberi fokus kepada isu-isu lain yang selama ini menjadi punca kepada kehilangan sokongan rakyat.

“Dalam model politik baru itu juga mungkin Perdana Menteri boleh memberi tumpuan kepada isu-isu yang berlaku dalam parti itu sendiri termasuk rasuah, kepentingan peribadi dan lain-lain.

“Jadi, jika Umno mahu berubah ia perlu dilakukan, model politik baru ini perlu mencerminkan imej bersih Umno yang boleh mengembalikan semula kepercayaan rakyat,” katanya.

Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim pula berpendapat bahawa tumpuan perlu diberikan untuk mendapatkan semula sokongan rakyat kerana sejak kebelakangan ini Umno dilihat semakin kehilangan kepercayaan.

“Bagi saya apa yang penting dalam model politik baru itu adalah perkhidmatan Umno kepada rakyat kerana saya lihat ia tidak begitu memberangsangkan.

“Wakil rakyat dipilih oleh rakyat untuk menjaga mereka, sebaliknya wakil rakyat bertindak seperti orang besar seperti zaman dahulu yang mana mereka ini menjadi golongan bangsawan.

“Ini yang saya lihat sekarang, pemimpin Umno sudah lupa akan peranan dan tanggungjawab mereka untuk membantu rakyat yang berada di bawah,” katanya.

Beliau juga berkata, Umno mempunyai banyak kuasa tetapi dilihat gagal untuk menunjukkan mereka berkuasa kerana lupa akan tanggungjawab mereka.

“Terus terang saya katakan Umno sekarang mempunyai banyak kuasa daripada Umno dahulu.

“Umno sekarang mempunyai kuasa dalam tangan tetapi mereka gagal menggunakan kuasa tersebut dengan baik, malah apa yang menyedihkan mereka lupa akan perkhidmatan yang harus diberikan kepada rakyat.

“Kalau Umno mahu mendapatkan semula kepercayaan rakyat, Perdana Menteri perlu memberikan tumpuan dalam isu perkhidmatan ini dalam model politik baru tersebut,” katanya.

Semalam Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Datuk Saifuddin Abdullah berkata model politik baru Umno yang hendak dibawa Najib perlu berasaskan pemikiran progresif supaya ia memberi impak besar kepda rakyat setiap lapisan masyarakat.

Sementara itu, pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugam Pandian berkata model politik baru itu perlu mengikut perubahan politik.

“Bila bercakap mengenai model politik baru maknanya ia perlu mengikut perubahan politik yang berlaku sekarang.

“Sebenarnya saya masih tidak tahu apa bentuk perubahan atau reformasi yang ingin Perdana Menteri lakukan dalam model politik baru ini.

“Cuma bagi saya ia perlu membawa model politik yang boleh meningkat semula kepercayaan rakyat kepada Umno,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa dalam model politik baru itu, Najib perlu memberikan tumpuan kepada perkhidmatan parti dan pemimpin mereka kepada rakyat.

“Ingin saya tegaskan sekiranya Perdana Menteri mahu mengusulkan model politik baru dalam Umno beliau perlu memberikan fokus kepada dua aspek utama iaitu soal hak dan juga tanggungjawab.

“Hak adalah sejauh mana pemimpin akan memberikan tumpuan kepada hak rakyat di negara ini dan tanggungjawab pula adalah pemimpin perlu memainkan semula peranan tanggungjawab mereka kepada rakyat.

“Ini kerana apa yang saya lihat sekarang, pemimpin-pemimpin Umno nampaknya sudah lupa akan tanggungjawab mereka kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Besut Datuk Seri Idris Jusoh berkata, model politik baru itu harus selari dengan peredaran semasa dan mengikut perkembangan politik.

“Pada masa model politik baru ini harus selari dengan peredaran semasa termasuk dari aspek ekonomi, politik, teknologi dan sebagainya.

“Mesti mengikut perubahan semasa... dan apa yang penting ia mesti berdasarkan kepada realiti politik yang ada sekarang.

“Saya tahu Perdana Menteri ada pendirian dalam perkara ini, jadi saya tidak boleh nak kata apa-apa.

“Kita tunggu sahaja apa yang akan diperkatakan beliau nanti,” kata bekas menteri besar Terengganu yang mengetuai jawatankuasa pilihan raya Umno pusat

Tiada ulasan: