Selasa, 12 Oktober 2010

Mesyuarat khas Umno Gua Musang ditangguh

Abdul Rahim Sabri

Mesyuarat khas Umno bahagian Gua Musang yang dijadual diadakan malam ini, telah ditangguhkan ke tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Ini ekoran Tengku Razaleigh Hamzah yang juga ketua Umno bahagian berkenaan mempunyai urusan di Kuala Lumpur, juga berkaitan dengan pilihan raya kecil DUN Galas.

"Saya diberitahu oleh setiausaha bahagian bahawa mesyuarat itu ditangguhkan," kata ketua Pemuda Umno bahagian itu, Bazlan Baharuddin.

Beliau memberitahu Malaysiakini petang ini, Tengku Razaleigh - yang lebih mesra dipanggil 'Ku Li' - kemungkinan pulang ke Gua Musang petang esok atau pagi lusa.

"Kita tunggu beliau pulang (untuk tindakan selanjutnya)," katanya.

Tengku Razaleigh juga adalah pengarah pilihan raya kecil DUN Galas.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Umno bahagian Gua Musang akan mengadakan mesyuarat khas malam ini dan dijangka mencadangkan Tengku Razaleigh sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil tersebut 4 November ini.

Mesyuarat khas itu juga dijangka membincang persediaan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya kecil itu.

Galas adalah antara tiga DUN dalam parlimen Gua Musang. Kerusi tersebut kosong selepas kematian ADUN dari PAS, Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 September, kerana barah usus.

Allahyarham memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 2008 dengan mengalahkan Mohd Saufi Deraman dari BN, dengan majoriti 646
undi.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 11,553 pemilih layak mengundi dalam pilihan raya kecil Galas 4 November yang melibat 11,426 pengundi biasa dan 127 pengundi pos.

Tiada ulasan: