Rabu, 13 Oktober 2010

LPKP belum cadang gantung permit Delima Ekspress

BERNAMA


Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) belum bercadang menggantung buat sementara waktu, perkhidmatan bas Syarikat Delima Ekspress Sdn Bhd (Delima Ekspress) yang terbabit dalam kemalangan ngeri berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat, Rembau, Negeri Sembilan, kelmarin.

Pengarah LPKP, Datin Naimah Ramli, berkata keputusan sama ada menggantung atau membatalkan permit syarikat bas berkenaan hanya akan diketahui selepas jawatankuasa khas bermesyuarat.

"Satu mesyuarat khas bersama agensi penguatkuasa dan teknikal lain seperti Polis Diraja Malaysia, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan PUSPAKOM akan dijalankan dalam masa terdekat.

"Dalam mesyuarat itu, laporan penyiasatan akan dibentangkan, sebelum secara sebulat suara, suatu keputusan diambil sama ada mahu mengambil tindakan terhadap syarikat bas berkenaan atau tidak," katanya.

Beliau berkata, mesyuarat itu juga akan membincangkan insiden kemalangan maut membabitkan bas ekspres berkenaan, selain mencari usaha menangani masalah nahas membabitkan bas ekspres pada masa depan.

Naimah berkata, pihaknya telah mengunjungi pejabat bas ekspres tersebut di Melaka semalam dan menjalankan audit serta pemeriksaan terhadap operasi serta pengendalian syarikat, selain tahap keselamatan penumpang yang diamalkan syarikat itu.

"Namun, buat masa ini, belum ada keputusan atau laporan yang dapat dikeluarkan berhubung kes itu...ia masih dalam proses siasatan," katanya.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Kong Cho Ha, berkata siasatan awal mendapati bas berkenaan baru digunakan sejak 2007 dan menjalani pemeriksaan berkala di Puspakom, Mei lalu manakala tayarnya berada dalam keadaan baik.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof, pula berkata semakan mendapati bas, syarikat serta pemandunya yang turut maut dalam kemalangan itu, memiliki rekod bersih dan tiada saman tertunggak, selain tidak pernah terbabit dalam kemalangan serius.

Seramai 12 orang terbunuh dan kira-kira 40 lagi cedera dalam nahas yang disifatkan sebagai terburuk tahun ini dalam kemalangan ngeri sekitar 6.50 petang membabitkan dua bas, sebuah van dan tiga kereta.

Dalam insiden itu, bas Delima Ekspress itu dikatakan hilang kawalan dan terbabas serta melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan dan melanggar van, bas serta menghempap dua kereta.


Tiada ulasan: