Ahad, 10 Oktober 2010

Ku Li: Pengarah Ya…., Calon Belum Tentu!


kuli Oleh Rahmah Ghazali

SEPANG: Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mengesahkan beliau menerima tawaran Umno sebagai Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Galas, dijadual pada 4 November depan.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan sama ada beliau sendiri menjadi calon hanya akan dibuat selepas mesyuarat dengan presiden parti dan Perdana Menteri Najib Tun Razak hari Isnin ini.

Razaleigh, yang kembali ke tanah air lawatan ke United Kingdom pagi ini, juga mengadakan mesyuarat ringkas dengan Ketua Perhubungan Umno Kelantan, Mustapa Mohamed dan Ketua Penerangan Umno Ahmad Maslan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pada sidang media sejurus selepas itu, Razaleigh berkata, beliau berasa "bertanggungjawab" untuk menerajui kempen pilihan raya kerana "saya adalah ahli Umno" sejak mula beliau menyertai politik.

"Saya juga Ketua Bahagian Gua Musang, Ahli Parlimen Gua Musang dan saya pernah menjadi ahli dewan undangan negeri di Galas, dulunya dikenali sebagai Hulu Kelantan," katanya.

Ahli politik veteran berusia 73 tahun itu menolak dakwaan beliau sengaja diletakkan dalam kedudukan yang serba salah oleh Umno apabila beliau ditawarkan jawatan pengarah pilihan raya dan juga sebagai calon.

Ini berikutan laporan meluas media mengenai pendiriannya tentang isu royallti minyak di Kelantan yang senada dengan pandangan kerajaan PAS negeri itu.

"Isu royalti minyak tidak timbul kerana ia isu nasional dan tidak boleh dipersoalkan kerana kes itu berada dalam mahkamah. Ia dianggap "mendahului mahkamah" (subjudice) untuk kita bercakap mengenai isu ini dalam kempen," katanya.

Disoal sama ada beliau merasa "tidak sedap hati" kerana menerima tawaran jawatan itu, Razaleigh berkata, "kenapa saya harus merasa "tidak sedap hati"? Saya adalah ahli Umno dan saya akan berjuang untuk penduduk Galas."

Razaleigh, yang diiringi oleh Mustapa dan Ahmad, juga menolak dakwaan bahawa hubungan di antara beliau dan Mustapa tidak baik sejak Mustapa dilantik sebagai ketua perhubungan negeri.

"Tiada masalah"

Ditanya sama ada beliau boleh bekerjasama dengan Mustapa dalam pilihan raya kecil, Razaleigh senyum, "saya tidak ada masalah dengan Tok Pa (gelaran Mustapa).

"Malah saya tiada masalah bekerja dengan sesiapa sejak masa perdana menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman," katanya.

Razaleigh, lebih popular dengan panggilan Ku Li merupakan calon pilihan Umno selepas bahagiannya di Gua Musang mengisytiharkan sokongan terhadap beliau untuk bertanding kerusi yang dikosongkan itu berikutan kematian penyandang Che Hashim Sulaima dari PAS.

Pemimpin-pemimpin Umno yang lain bersetuju Razaleigh, ahli parlimen kawasan itu sejak 1969, adalah calon yang betul untuk menambah peluang BN meraih semula kerusi itu dari PAS yang mencatat kelebihan majoriti hanya 646 undi pada 2008.

Sejurus selepas kerusi itu menjadi kosong dua minggu lalu, Timbalan Presiden Umno dan juga Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang secara tradisi mengetuai jentera pilihan raya BN, bersetuju Razaleigh adalah pilihan yang tepat untuk menerajui cabaran BN di Galas.

Muhyiddin juga tidak fikir PAS boleh mendapat manfaat dari pendirian Razaleigh berhubung isu royal minyak. Razaleigh pernah menyatakan Petronas harus memberi royalti minyak kepada Kelantan, satu cadangan yang ditolak oleh kerajaan persekutuan.

Razaleigh, yang tiba pada awal pagi tadi, disambut oleh kira-kira 50 penyokongnya yang bertempik "Hidup Ku Li" ketika beliau berjalan ke arah bilik menunggu. Beberapa pemimpin BN, termasuk Ketua Wanita Gerakan, Tan Lian Hoe turut hadir.

Syed Azidi, atau "Kickdafella", blogger yang pada satu ketika dulu pro-kerajaan PAS Kelantan kelihatan berada di celah-celah para penyokong BN.

Tiada ulasan: