Khamis, 28 Oktober 2010

Khairy nafi dakwaan Ketua Pemuda Umno Gua Musang sabotaj kempen Galas

THE MALAYSIAN INSIDER


Khairy Jamaluddin

GUA MUSANG — Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyifatkan pembangkang sudah tidak ada isu untuk dimainkan dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas sehingga cuba mencari keretakan yang tidak wujud dalam Umno.

Beliau berkata pembangkang mula mencipta dan memperbesar-besarkan isu yang sepatutnya tidak diadakan.

"Saya tengok pembangkang ketandusan isu, ceramah yang diadakan pihaknya semalam juga dilihat menyebut isu-isu yang sengaja diperbesarkan seperti Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah, Ketua Umno bahagian Gua Musang) tidak masuk ke dalam dewan penamaan calon, seolah-olah ada keretakan dalam Umno Gua Musang.

"Selain itu dakwaan pihak tertentu yang mengatakan Ketua Pemuda Umno bahagian Gua Musang, Bazlan Baharuddin cuba mensabotaj calon dan kempen pilihan raya kecil ini juga adalah tidak benar sama sekali," katanya kepada pemberita selepas melawat pesakit di Hospital Gua Musang di sini hari ini.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian penyadangnya dari PAS, Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 Sept lepas akibat barah.

Pada pilihan raya 4 November ini, calon Barisan Nasional (BN) Abdul Aziz Yusof, 49, akan menentang calon PAS Dr Zulkefli Mohamad, 44.

Khairy berkata Umno dan BN tidak mempunyai sebarang masalah, ahli dan Pemuda Umno sedang bergandingan memantapkan jentera dalam usaha menawan Galas.

Justeru beliau berkata pengundi tidak harus menyimpan rasa ragu terhadap kepimpinan Umno dan BN yang digambarkan pembangkang sebagai berada di ambang perpecahan.

Katanya pengundi juga perlu yakin dan tidak menelan segala fitnah dan isu rekaan yang sengaja diwujudkan pembangkang.

Khairy berkata Pemuda Umno kini giat turun padang untuk bersua muka dengan pengundi secara lebih dekat dan tidak hanya bergantung kepada ceramah secara besar-besaran.

“Kita terus jalankan kempen, sudah berjumpa beberapa kumpulan kecil pengundi antaranya di hospital, melawat peti undi, adakan kem cakna pemuda, lawatan baik pulih beberapa buah rumah dan juga ceramah, singgah di kedai kopi dan sebagainya kerana ia lebih memberi impak berbanding ceramah besar-besaran," katanya. — Bernama

Tiada ulasan: