KUALA LUMPUR — Kementerian Pelajaran sedang menjalankan kajian khusus untuk memastikan lebih ramai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) dapat diserap ke jawatan guru tetap.
Timbalan Menterinya Dr Mohd Puad Zarkashi (gambar) berkata kajian tersebut dijangka disiapkan dalam masa terdekat kerana kementerian menyedari terdapat ramai GSTT yang layak untuk menduduki jawatan tersebut.
Beliau berkata kementerian juga masih meneruskan program penyerapan melalui Kursus Dalam Cuti (KDC) dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM).
“Walau bagaimanapun tidak semua daripada 12,546 GSTT di sekolah rendah dan menengah yang ada pada masa ini boleh diserap kerana pengambilan adalah berdasarkan keperluan dan syarat-syarat tertentu,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Noraini dalam soalannya mahu tahu apakah mekanisme kementerian untuk menampung kekurangan guru bertauliah terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar memandangkan terdapat ramai GSTT yang layak walaupun kurang pengalaman.
Mohd Puad berkata kementerian juga menggalakkan agar GSTT memohon untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) selain bergantung kepada KDC dan KDPM.
GSTT dilantik bertujuan menampung kekosongan jawatan dan kekurangan guru di sekolah pada satu-satu masa dan pada ketika ini, proses pengambilan diuruskan oleh Jabatan Pendidikan Negeri.
2 ulasan:
dengarlah luahan perasaan GSTT pada link dibawah ini..saya amat menyokong tindakan kerajaan untuk menyerap GSTT yang berkelayakkan.
http://beritasemasa.com/masalah-guru-sandaran-tidak-terlatih-gstt-2010
Catat Ulasan