Selasa, 5 Oktober 2010

Kait polis dengan kes bunuh Sosilawati, Shamsul beri keterangan esok


Shamsul 2Oleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin bersedia memberikan keterangan kepada polis kononnya beliau mendakwa mengaitkan kepimpinan tertinggi pasukan polis dengan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya.

"Beliau akan memberi keterangan berhubung hal itu di Ibu Pejabat Daerah Shah Alam, jam 11 pagi esok," kata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar ketika dihubungi oleh FMT hari ini.

Beliau berkata, "Dia (Shamsul) dah berjanji nak datang ke IPD Shah Alam esok untuk beri keterangan. Kita akan melihat perkembangannya esok."

Shamsul Iskandar ketika dihubungi hari ini pula berkata, beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis, namun menafikan beliau membuat dakwaan itu seperti yang disiar oleh media sebelum ini.

"Saya akan hadir di IPD Shah Alam esok dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.

"Siasatan dan keterangan ini berkaitan dengan dakwaan saya yang mengaitkan pegawai tertinggi dalam kes itu dan saya menafikan membuat dakwaan tersebut," katanya.

Katanya lagi, beliau akan ditemani dua peguamnya iaitu Yusmadi Yusoff dan Fadiah Nadwa Fikrie.

Media sebelum ini melaporkan, Shamsul Iskandar menerusi siaran berita portal TV Selangor pada 13 September lalu mengaitkan kepimpinan tertinggi pasukan polis sebagai yang didakwa terbabit dalam pembunuhan kejam Sosilawati bersama tiga lagi rakannya.

Shamsul Iskandar dalam temuramahnya bersama portal berita itu turut mempersoalkan sama ada wujud pertalian antara bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dengan suspek.

Ini kerana tiada sebarang tindakan diambil terhadap peguam yang bergelar ‘Datuk’ itu walaupun mempunyai empat rekod berkait pembunuhan sama sebelum ini.

Sosilawati, 47, bersama pemandu, Kamarudin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohamad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang 30 Ogos lalu sebelum ditemui mati dibunuh di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting.

Disebabkan laporan itu juga dua wartawan termasuklah Editor TV Selangor sebelum ini turut dipanggil memberi keterangan.

Nafi tidak dapat dihubungi

Sementara itu, Shamsul Iskandar turut menafikan bahawa beliau gagal dihubungi seperti kenyataan Khalid sebelum ini.

"Mereka (polis) menghubungi saya ketika waktu pejabat, saya masa tu berada dalam mahkamah. Mereka ada menghubungi saya, dan saya perjelaskan kepada mereka.

"Malah pada Rabu minggu lepas polis hadir ke rumah saya meminta saya hadir ke balai polis memberi keterangan," katanya.

Menurut Shamsul, setakat ini pihaknya hanya menerima notis yang mahu beliau hadir memberikan keterangan dan tiada waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

"Pihak polis telah mengeluarkan notis di bawah seksyen 111 Kanun Acara Jenayah bagi memastikan kehadiran saya sebagai saksi dalam hal ini. Maka soal waran tangkap tidak timbul kerana beliau hanya menerima notis setakat ini," katanya lagi.

Tiada ulasan: