Ahad, 3 Oktober 2010

Jentera BN Galas mula bergerak Selasa ini .

BERNAMA

BACHOK, 2 Okt — Barisan Nasional (BN) Kelantan akan mula menggerakkan jentera pilihan rayanya pada Selasa ini bagi persediaan menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed akan menemui jawatankuasa Umno Bahagian Gua Musang termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri serta pemimpin cawangan DUN berkenaan pada hari itu.

Mustapa yang juga Timbalan Pengarah Jentera pilihan raya DUN berkenaan akan menyelaraskan pembahagian kerja antara Umno negeri, bahagian, cawangan dan bantuan Umno dari setiap negeri, katanya kepada pemberita pada Majlis Program Sepakat Bestari Bachok di Pantai Irama di sini, hari ini.

Pilihan raya itu akan diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS Che Hashim Sulaima, 46, Isnin lepas akibat barah usus.

Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) akan bermesyuarat Rabu ini untuk menetapkan hari penamaan calon dan pengundian untuk pilihan raya kecil itu.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata Mustapa akan memikul tanggungjawab itu dengan dibantu Timbalan Ketua Umno bahagian tersebut Mat Yusof Abdul Ghani sebagai langkah awal mengatur persiapan sementara menunggu kepulangan pengarah jentera pilihan raya BN DUN berkenaan Tengku Razaleigh Hamzah yang kini berada di Ireland dan dijangka pulang Sabtu depan.

Beliau berkata penyelarasan itu penting supaya setiap gandingan berjalan lancar dan tidak bertindih antara satu sama lain.

Katanya BN mempunyai kelebihan untuk menang berasaskan PAS banyak melakukan kesilapan besar terutama pengambilan tanah rakyat di Gua Musang untuk dijadikan ladang rakyat yang memberi keuntungan kepada syarikat luar Kelantan, isu air dan rangkaian jalan raya yang masih tidak sempurna.

Menurutnya isu-isu itu akan dijadikan modal sepanjang kempen supaya pengundi DUN Galas tidak mudah dipengaruhi dengan dakyah parti pembangkang.

Mengenai isu royalti minyak yang akan dijadikan modal PAS untuk berkempen, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Kelantan berkata isu itu tidak sepatutnya timbul kerana kerajaan negeri sudah pun membawa kes tersebut ke mahkamah.

Tiada ulasan: