GUA MUSANG — Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata semua pihak baik dalam Umno dan BN kini bersemangat tinggi untuk merampas kembali kerusi DUN itu pada pilihan raya kecil 4 November ini.
Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata untuk merealisasikan hasrat itu beliau mahukan semua pihak dapat bersatu tenaga bersamanya sepanjang kempen pilihan raya kecil itu.
“Kita akan lakukan terbaik... saya harap kita dapat menjalankan kerja dengan baik dengan kerjasama semua pihak.
“Saya baru sampai (ke Gua Musang) hari ini tetapi saya mendapat laporan semua pemimpin di peringkat cawangan dan semua pihak yang lain sudah bersemangat dan insyaAllah kita akan gerakkan jentera dengan bantuan semua orang,” kata Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang kepada pemberita sewaktu ditemui sebelum menghadiri mesyuarat khas bahagian itu di sini hari ini.
Sejak dilantik sebagai pengarah jentera pilihan raya, Tengku Razaleigh pulang ke sini buat pertama kalinya pada pukul 4.30 petang bagi persiapan jentera BN menghadapi pilihan raya kecil itu.
Mengulas mengenai mesyuarat khas itu Tengku Razaleigh berkata, ia bagi membincangkan beberapa agenda termasuk senarai nama calon yang akan dicadangkan untuk mewakili BN pada pilihan raya kecil itu nanti.
“Mesyuarat ini nanti akan mencadangkan beberapa nama yang layak untuk diangkat sebagai calon tetapi apapun keputusan akhir terletak di tangan Presiden Umno, (Datuk Seri Najib Tun Razak).
“Semua boleh bertanding kalau layak di bawah Perlembagaan negeri dan undang-undang negeri dan calon mestilah ahli Umno asalkan kelayakannya untuk bertanding ada,” katanya.
Mengulas spekulasi bahawa nama setiausaha Umno bahagian itu Aziz Shamsuddin dan Ketua Pemuda Umno bahagian Bazlan Baharuddin yang disebut-sebut sebagai calon, Tengku Razaleigh berkata: “Saya tidak tahu dan terpulanglah kepada pucuk pimpinan parti (untuk memutuskan senarai calon)”.
Tengku Razaleigh juga berkata tarikh pengumuman calon juga terletak di tangan presiden parti walaupun ada pihak yang mengatakan tarikh pengumuman pada 24 Oktober ini agak lewat berbanding PAS yang akan mengumumkan calonnya dua hari sebelum itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 26 Oktober ini sebagai tarikh penamaan calon manakala 4 November depan untuk hari pengundian.
Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 46, daripada PAS akibat barah usus pada 27 September lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan