Ahad, 4 April 2010

Warga emas banjiri bank dapatkan RM100 seorang dari kerajaan negeri

Ali Hashim


PERMATANG PAUH: Kira-kira 4,000 warga emas telah menyerbu Maybank cawangan Desa Murni, Sungei Dua bagi mendapatkan wang yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Bermula sejak semalam sehinggalah ke hari ini kebanyakan cawangan Maybank yang dikhususkan bagi pembayaran wang RM100 seorang tersebut telah dibanjiri oleh warga emas mengikut kawasan pilihan raya masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Mohd Salleh Man (gambar bawah) juga terpaksa berada di pusat pungutan tersebut bagi membantu warga emas yang mempunyai masalah semasa proses pembayaran dibuat.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang terpaksa berada sejak awal pagi sehinggalah proses pembayaran tunai berakhir pada petang ini.

Menurut Mohd Salleh warga emas yang mendapat surat untuk menerima wang daripada Kerajaan Negeri masih boleh menunaikan wang tersebut sehingga 16 April yang akan datang.

"Oleh kerana itu mereka tidak perlu untuk tergesa-gesa atau bersesak-sesak untuk mendapatkan wang tersebut kerana tarikh yang diberikan oleh Kerajaan Negeri adalah mencukupi bagi mereka mendapatkan wang yang dijanjikan.

"Proses pembayaran berjalan lancar dengan kerjasama yang begitu baik diberikan oleh pihak bank kepada semua warga emas yang ingin menunaikan wang tersebut.

"Kehadiran semua petugas daripada pusat khidmat Dewan Undangan Negeri dan juga JKKK juga adalah bagi membantu petugas dan kakitangan bank untuk melicinkan proses pembayaran wang tersebut,"katanya semasa ditemui di Maybank cawangan Desa Murni, Sungei Dua.

Manakala Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Rosidi Hussain terpaksa berhadapan dengan 5 ribu warga emas bagi kawasan Parlimen Kepala Batas yang turut membanjiri Maybank cawangan Bertam, Kepala Batas untuk membantu mereka yang menghadapi masalah dalam proses pembayaran tersebut.

Pembayaran yang dilakukan sejak semalam sehinggalah ke hari ini secara tunai telah menyebabkan warga emas terpaksa beratur panjang bagi mendapatkan wang tersebut.

Rosidi berkata, kehadiran yang begitu menakjubkan membuktikan bahawa pemberian yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi proses pembayaran wang RM100 ini adalah sesuatu yang amat diharapkan oleh warga emas sebagai menghargai mereka selama ini.

"Proses pemberian ini merupakan salah satu tindakan terbaik yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi menghargai warga emas yang ada dalam negeri ini walaupun jumlahnya tidak begitu banyak.

"Namun begitu setidak-tidaknya ia dapat membantu mereka yang benar-benar memerlukan bantuan tersebut,"katanya.

Tiada ulasan: