KUALA TERENGGANU: Kata orang lain padang, lain belalang. Begitu jugalah dengan manusia, lain insan, lain ragam dan minat.
Bab hobi, ada yang sanggup buat macam-macam, ada kalanya tidak terfikir, malah mungkin juga dianggap tidak masuk akal oleh orang lain.
Bagi peminat ayam serama umpamanya, tidak kisah berhabis ribuan ringgit, dan bukan pelik bila ada antara mereka yang menjaga ayam serama seperti menatang minyak yang penuh.
Apa tidaknya, seperti juga kuda lumba, harga ayam serama yang pernah menang pertandingan akan melonjak naik - ada yang mencecah puluhan ribu ringgit - menjadi kebanggaan 'tuan' dan idaman peminat kesenian itu.
Pantang ada pertandingan, pemilik ayam kebanggaan ini akan turut serta dan sanggup datang dari jauh untuk mencuba nasib dan mengangkat taraf ayam serama peliharaan masing-masing.
INGIN TUKAR AYAM DENGAN KERETA
Ini terbukti apabila pertandingan pembuka tirai tahun 2010 kesenian ayam serama yang dianjurkan oleh Sutra Beach Resort di Merang, Setiu baru-baru ini, mendapat sambutan menggalakkan peminat dari seluruh negara.
Dalam pertandingan itu lebih 400 ekor ayam serama dikumpul dan dipertandingkan dalam lapan kategori iaitu serama tanpa lawi (bulu ekor), serama A (350 gram ke bawah), Serama B (351 hingga 500 gram), serama muda, serama remaja, serama induk, serama anak A (100 gram ke bawah) dan serama anak B (101 hingga 140 gram).
Sambil diperhati penuh debaran pemilik masing-masing, ayam serama atau katik pelbagai warna yang diletak dalam sangkar dihias indah, lengkap dengan 'kelambu', akan dinilai satu persatu oleh pengadil mengikuti kategori yang dipertandingkan.
Tuan Hasan atau Tuan Hamizan Tuan Mat, 49, penternak ayam serama baka baik sejak 30 tahun dari Kampung Penarik, Setiu berkata, pernah ada peminat ayam serama datang ke rumahnya dengan membawa sebuah kereta untuk ditukarkan dengan ayam serama peliharaannya.
"Pernah satu hari 18 buah kereta datang ke rumahnya untuk membeli ayam serama setelah saya menang satu pertandingan tidak lama dulu," katanya yang turut menyertai pertandingan anjuran Sutra Beach Resort itu bagi kategori serama tanpa lawi dan memenangi tempat pertama.
PETUA SEBELUM SERTAI PERTANDINGAN
Kini, Hasan yang menjadikan hobi memelihara ayam serama sebagai peluang menambah pendapatan mempunyai 60 ekor induk dan 20 ekor serama jantan bagi tujuan pembiakan.
Katanya hasil jualan itu jugalah yang digunakan untuk membiayai adik-adiknya melanjutkan pelajaran di universiti.
"Pendek kata, pendapatan saya juga bertambah, hidup saya sekeluarga kini lebih selesa apabila ayam-ayam peliharaan saya mampu dijual dengan harga RM100 hingga RM300 seekor bagi anak yang baru menetas dan yang besar sedikit RM300 hingga RM1,500 seekor," kata Hasan.
Beliau turut menurunkan sedikit petua sebagai persediaan menyertai pertandingan: "Pastikan ayam bersih dan sihat serta berada dalam 'mood' baik manakala bulunya hendaklah disyampu dan dikeringkan dengan alat pengering rambut untuk nampak berkilat."
SANGGUP BERHABIS RIBUAN RINGGIT
Seorang lagi peminat ayam serama Zahari Ahmad, 49 dari Pendang, Kedah berkata, beliau tidak pernah terlepas menyertai pertandingan kesenian ayam serama yang diadakan di serata tanah air.
"Saya pergi merata tempat jika ada pertandingan seperti di Terengganu, Kelantan, Pahang... di situ juga saya dapat kenal ramai kawan," katanya yang mula berjinak-jinak dengan hobi baru ini sejak beberapa tahun lalu.
Zahari berkata, beliau bukan sahaja datang untuk bertanding, tetapi juga untuk membeli baka-baka ayam serama yang baik.
"Seperti hari ini yang sudah belanja kira-kira RM5,000 dengan membeli beberapa ekor ayam serama dan kalau ada yang berkenan lagi, saya akan habiskan semua duit ni," katanya sambil menunjukkan sebahagian daripada wang tunai RM13,000 yang dibawa khusus untuk tujuan itu.
Rupanya di celah-celah kemeriahan pertandingan kesenian ayam itu, terselit satu perniagaan yang menjanjikan pulangan lumayan.
PUAS MILIKI ROCKY
Pertandingan yang diadakan juga menjadi medan jual beli ayam serama, kena dengan harganya wang mencecah ribuan ringgit akan bertukar tangan antara pembeli dan penjual ayam.
Seorang lagi peserta Chong Chin Chuan, 27, dari Alor Star, Kedah, yang mempertaruhkan ayam diberi nama Rocky telah muncul juara Best Of The Best pada pertandingan itu dengan memenangi hadiah berjumlah RM1,050 serta piala pusingan.
Chong berkata, ayamnya sebelum ini pernah muncul juara sebanyak dua kali pada pertandingan di negeri Kedah dan pernah ditawarkan untuk dibeli oleh peminat ayam serama dengan harga RM10,000.
"Rocky saya beli di Dungun awal tahun lepas dan buat masa ini saya belum bercadang untuk menjualnya walaupun harga yang ditawarkan lumayan," katanya yang berpuas hati kerana ayamnya juga muncul juara bagi kategori Serama B pada hari itu.
Tambahnya, beliau merasa seronok dan puas dengan hobinya itu, apatah lagi penat bekerja seharian sebagai jurujual di pasaraya hilang apabila dapat membelai ayam kesayangannya itu.
AYAM PERLU PANDAI BERGAYA UNTUK MENANG
"Pertandingan kesenian ayam serama dinilai dari pelbagai sudut oleh pengadil. Ayam cantik semata-mata belum tentu menang dalam pertandingan jika tidak padai bergaya di hadapan pengadil," demikian menurut Suhasdi Yusof Pengerusi Pengadil dari Kelab Perkasa Ayam Serama Kelantan.
Dalam pertandingan, katanya, pengadil memperuntukkan masa 1 minit 15 saat untuk menilai setiap ayam yang dipertandingkan.
"Masa itulah ayam yang dipertandingkan kena pandai bergaya dan tunjuk lagak.... nak berkokok atau nak berlenggang, semua itu akan diberi markah.
"Selain itu, ayam mestilah sihat, nmanakala kedudukan ekor, kaki, sayap, dan kepalanya mestilah mendongak sekurang- kurang 90 darjah, semuanya itu akan diambil kira," katanya.
Katanya, ayam ini rata-rata seberat seberat antara 350 hingga 500 gram itu dipercayai berasal dari negara China berpandukan kepada lukisan pada barang-barang seramik dari negara itu kemudian ke Indonesia berdasarkan tulisan Sanskrit sebelum ke Malaysia di mana Kelantan mempelopori pertandingan kesenian ayam serama.
PERTANDINGAN SATUKAN PELBAGAI KAUM
Menurut Suhasdi, kegilaan peminat ayam serama memuncak pada penghujung tahun 90-an, namun ia sedikit malap pada tahun 2002 hingga 2004.
"Bagaimanapun, sejak 2005, minat terhadap kesenian ayam serama ini kembali pulih dengan adanya pertandingan berterusan di seluruh negara dan turut mendapat sambutan hangat pelbagai kaum.
"Satu Malaysia - Melayu, Cina dan India, minat dan turut serta dalam pertandingan ini dan ada yang sanggup turut serta dalam setiap pertandingan yang diadakan di seluruh pelosok tanahair," katanya.
Suhasdi yang sedang membuat kajian tentang ayam serama di sebuah universiti tempatan, turut merancang untuk menyediakan satu kalendar khas supaya pertandingan ayam serama yang diadakan tidak bertembung.
"Kita akan sediakan jadual, di mana tarikh pertandingan ditetapkan dan kita akan edarkan kepada seluruh peminat ayam serama.
"Rugi kalau tarikhnya bertembung kerana setiap ayam yang menang dalam pertandingan, atau selalu menang, akan naik harganya dan menjadi rebutan peminat," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan