Isnin, 26 April 2010

Suri Rumah Didakwa Miliki Pistol Dan 7 Butir Peluru

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan iaitu memiliki sepucuk pistol dan tujuh butir peluru tanpa permit, dua minggu lepas.

Teo Pei Sze , 33, didakwa memiliki sepucuk pistol jenama Springfields Armory (no siri NM 78705) tanpa permit di rumah No. A-10-9, Kondo Endah Puri, Jalan 3/149E, Taman Sri Endah, Bandar Sri Petaling pada pukul 11 pagi, 14 April lepas.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan minimum enam sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, Teo didakwa memiliki tujuh butir peluru pelbagai jenama tanpa permit di lokasi dan tarikh yang sama, mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 (Akta 206) yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Tiada jaminan ditawarkan.

Hakim Zainal Abidin Kamarudin menetapkan 26 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yong Ann Nee manakala tertuduh diwakili peguam James George.

Terdahulu, Teo dihadapkan di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengedar dua bungkusan plastik lutsinar disyaki methamphetamine anggaran berat 191.8 gram.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin menetapkan 26 Julai depan untuk sebutan semula kes itu.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya P.Nomphot.

Tiada ulasan: