Menjelang Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, masyarakat sivil semakin lantang untuk menentang sekatan kebebasan media yang berlaku di negara kita. Malah, perletakan jawatan penerbit ntv7, Joshua Wong baru-baru ini, telah mendedahkan realiti bagaimana kebebasan media arus perdana dikawal dan disekat oleh pemerintah.
Lantaran daripada itu, senator Tunku Abdul Aziz (gambar kiri), bakal mengusulkan "kes campur tangan politik dalam urusan ntv7 untuk menyekat kebebasan media dan membantutkan perbahasan politik yang sihat", di Dewan Negara dalam masa terdekat. Bagaimanapun, kes yang cuba diusulkan di bawah Peraturan Mesyuarat 26 (3) ini tidak sempat dibacakan dalam Dewan Negara, pada hari ini.
"Saya mengusulkan perkara ini kerana percaya Parlimen harus memandangkan berat insiden ini kerana campur tangan politik dari pihak kerajaan - termasuk isteri Perdana Menteri yang bukan seorang ahli Eksekutif - pasti akan menyekat kebebasan media dan membantutkan budaya perbahasan politik yang sihat. Ia tidak membantu kita mencapai tahap negara maju, sebaliknya merupakan taktik yang digunakan oleh diktator negara mundur untuk terus membelenggu rakyatnya," kata Tunku Abdul Aziz dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau menambah, "Usul ini juga dibawa dalam memastikan profesionalisme dan budaya kreatif media dan serta hak rakyat bersuara tidak terus terjejas."
Joshua Wong (gambar kanan), penerbit rancangan forum Editor's Time, meletak jawatan pada 20 April 2010 untuk menunjukkan ketidakpuasannya terhadap syarikat media yang beliau berkhidmat, kerana tunduk kepada aduan daripada Jabatan Perdana Menteri dan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor, menurutnya.【Penerbit letak jawatan, dedah ntv7 menerima aduan Rosmah】
Setelah sidang media tersebut diadakan, bosnya, Tan Boon Kooi telah mengeluarkan satu kenyataan media, memuji Joshua Wong sebagai pengamal media yang baik. Bagaimanapun, Tan Boon Kooi tidak menafikan tuduhan Joshua Wong. 【Joshua pengamal media yang baik, puji bosnya】
CPI: Najib harus jelaskan
Malah, ketika diminta untuk mengulas isu ini pada 24 April, Rosmah Mansor sekadar menjawab, "I have nothing to say" (Saya tidak mempunyai apa-apa untuk dikatakan).
Dalam satu kenyataan media oleh Pengarah Center for Policy Initiatives, Lim Teck Ghee (gambar kiri), Perdana Menteri Najib Razak didesak untuk menjelaskan sama ada isterinya, Rosmah Mansor, atau stafnya, memberi arahan kepada ntv7? Malah, adakah Najib menyedari bahawa wujudnya arahan, yang kononnya datang dari Jabatan Perdana Menterinya kepada ntv7?
Juga, Lim Teck Ghee menggesa agar Najib menjelaskan sama ada terdapatnya rangkaian langsung dari pejabatnya, untuk memberi arahan kepada stesen televisyen yang dimiliki negara, seperti tv1 dan tv2?
Aliran: Penghormatan kepada Joshua Wong
Selain itu, koordinator Charter 2000-Aliran, Mustafa K Anuar and Anil Netto berkata, pendedahan Joshua Wong dengan sendirinya telah menyangkal dakwaan kerajaan Barisan Nasional bahawa mereka mendukung kebebasan media.
Malah, Charter 2000- Aliran memuji ketegasan Joshua Wong untuk mempertahankan kebebasan kewartawanan dan integriti profesionalnya. "Sebelum kita melihat perubahan daripada kerajaan, kami berharap lebih ramai Wong akan tampil ke depan untuk mempertahankan kebebasan media. Hanya apabila individu yang berani tampil untuk menyatakan pendiriannya, barulah perubahan akan menjelma."
Isu kebebasan bersuara kembali mencungkil perhatian umum lantaran perletakan jawatan oleh penerbit ntv7, Joshua Wong baru-baru ini. Sebelum ini, kebebasan bersuara tercabul dalam zaman pemerintahan Najib Razak, apabila beberapa buah buku, seperti "Where is Justice" dan "1 Funny Malaysia" dirampas oleh kerajaan.
Ketika menjawab soalan lisan ahli parlimen Batu, Tian Chua pada 8 April 2010, Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein berkata, "Sebenarnya pihak PDRM menahan edaran buku l Funny Malaysia dan Where is Justice adalah untuk tujuan siasatan. Ini adalah tugas PDRM (Polis Di-Raja Malaysia) bagi memastikan bahawa sebarang penerbitan tidak membangkitkan kemarahan rakyat yang boleh atau mungkin memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam."
Pada bulan Februari 2010, majalah kartun kelolaan Zunar, Sumpah di Bumi Komisyen dirampas oleh polis di sekitar Pulau Pinang, termasuk di Seberang Jaya, Butterworth, Taman Bertam, pekan Kepala Batas, Kampung Belah Dua, Permatang Pauh dan sebagainya.
Lebih awal, Majalah Jenaka Alternatif, Gedung Kartun dirampas oleh pegawai KDN dalam satu serbuan ke pejabat penerbitnya di Brickfield. 【KDN serbu Gedung Kartun】
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan