Isnin, 5 April 2010

Saran majlis Raja-Raja campur tangan

DETIK DAILY

Majlis Raja-Raja Melayu diminta campur tangan terhadap tindakan Kerajaan Persekutuan melantik Majlis Penasihat Antarabangsa Apco Worldwide (IAC) sebagai syarikat perunding kepada komunikasi negara.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, ini penting kerana dengan penyertaan syarikat yang dikaitkan dengan jaringan Zionis-Israel, boleh meletakkan tahap keselamatan negara dalam bahaya.

“Selain menubuhkan Suruhanjaya Diraja, Majlis Raja-Raja Melayu juga perlu campur tangan kerana isu ini secara tak langsung membabitkan kepentingan negara dan Islam, selain keselamatan negara dan boleh menjadi ancaman pada keamanan negara,” katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, adalah mustahil maklumat negara tidak bocor kerana fungsi sebenar Apco adalah menguruskan komunikasi strategik ke atas rakyat.

“Sebelum ini, sebuah syarikat komunikasi antarabangsa pernah menjual maklumat strategik kepada Amerika ketika meletusnya Perak Teluk di Asia Barat, tidak mustahil perkara sedemikian berulang di Malaysia,” katanya.

Mahfuz berkata, kemungkinan kerajaan Malaysia turut memberikan maklumat yang strategik kepada Apco kerana Apco tidak berupaya memberikan nasihat yang strategik.

“Kalau tidak diberi maklumat yang strategik seperti demografi negara, bagaimana Apco dapat memberi nasihat. Dengan maklumat strategik ini, bermakna keselamatan negara terdedah kepada pihak luar,” katanya.

Menurutnya, keputusan kerajaan melantik Apco Worldwide sebagai syarikat perunding komunikasi 1Malaysia turut memperlihatkan UMNO sebagai tali barut Israel.

“UMNO tidak mampu menyatakan komitmennya terhadap syarikat itu walaupun syarikat itu umumnya dikatakan sebagai pro Zionis Israel. Ini menyerlahkan UMNO adalah tali barut Yahudi kerana mereka tidak menyatakan pendiriannya,” katanya.

Mahfuz berkata, rakyat perlu diperjelas alasan kukuh kenapa syarikat itu yang menjadi pilihan, sedangkan masih banyak lagi syarikat perunding lain di dunia.

“Saya curiga kerana kerajaan melantik Apco secara tender eksklusif sedangkan Apco dibayangi oleh beberapa pemimpin Zionis Israel antaranya bekas Duta Kehormat Israel ke Jerman, Shimon Stein; bekas Duta Besar Israel ke Amerika Syarikat, Profesor Ittamar Rabinovich; anggota perisik di ISA, David Heral; serta proksi Yahudi, bekas pembantu khas kepada Presiden Amerika Syarikat, George W Bush, Elliott Abrams,” katanya.

Mahfuz turut mempertikai sama ada pelantikan Apco membabitkan individu tertentu di dalam kerajaan memandangkan ia bukan tender terbuka, tetapi dilantik khusus. S/H

Tiada ulasan: