Selasa, 13 April 2010

Pusat tabur projek untuk kaburi rakyat Hulu Selangor

Ali Hashim


JERAI: Rakyat kawasan Hulu Selangor khususnya akan dapat menyaksikan pelbagai projek Kerajaan Pusat ditabur dengan berleluasa semata-mata bagi mengaburi mata rakyat bahawa kerajaan prihatin terhadap kepentingan rakyat menjelang pilihan raya kecil parlimen itu yang akan diadakan pada 25 April ini.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) ketika dihubungi berkata, sebagaimana yang menjadi kebiasaan apabila menjelangnya pilihan raya maka amalan kempen Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah dengan umpan-umpan dan gula-gula pembangunan secara berkala dan tidak ikhlas untuk membantu rakyat yang memerlukan.

"Bantuan akan datang secara mendadak. Projek yang dijanji dan ditabur akan berlipatganda. Janji-janji mereka untuk memberi keselesaan dan pembangunan kepada pelbagai golongan masyarakat khususnya dalam kawasan yang akan menghadapi pilihan raya dengan jelas dapat dilihat dengan ketara.

"Namun begitu, walaupun umpan-umpan dan gula-gula politik yang mereka taburkan sudah jelas dan nyata berada di hadapan mata, rakyat Hulu Selangor khususnya harus mempertahankan kepentingan rakyat yang sedia ada di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat dengan menolak kepimpinan Umno dan BN," katanya.

Beliau juga berkata pelbagai isu yang membabitkan kerosakan, penyelewengan dan korupsi yang dilakukan oleh pemimpin BN belum lagi terjawab sehingga kini.

"Mereka belum lagi menjawab pelbagai skandal yang membabitkan mereka selama ini. Isu kapal selam, enjin jet kapal terbang, subsidi minyak, stadium yang runtuh, royalti minyak di negeri Kelantan, isu Speaker di Dun Perak dan banyak lagi.

"Oleh kerana itu rakyat di Hulu Selangor harus bijak dalam membuat penilaian. Gula-gula politik yang sedang dan akan ditabur oleh Umno dan BN ini diharap tidak akan mengelabui mata dan pandangan para pengundi untuk terus memberi sokongan kepada PR untuk terus memperjuangkan nasib rakyat bagi mendapatkan keadilan dan membela mereka yang selama ini dizalimi oleh kepimpinan Umno dan BN," katanya.

Tiada ulasan: