KUALA LUMPUR - Hentian Puduraya akan ditutup selama empat bulan mulai 12 April ini bagi tujuan melakukan kerja-kerja pengubahsuaian terhadap hentian bas ekspres utama ibu kota itu.
Pengurusan Hentian Puduraya, UDA Holdings Berhad menyatakan, serentak dengan tarikh penutupan itu, perkhidmatan bas ekspres arah utara dan selatan akan dipindahkan ke terminal sementara di Padang Letak Kereta F, Stadium Bukit Jalil, dekat sini.
"Seperti sedia maklum, penutupan sementara Hentian Puduraya ini adalah untuk melancarkan lagi kerja-kerja menaik taraf dan penambahbaikan hentian tersebut," kata UDA Holdings dalam satu kenyataan akhbar.
Sebelum ini, UDA Holdings bercadang menutup pangkalan bas dan teksi itu pada 19 Mac lalu tetapi menangguhkannya atas sebab-sebab tertentu.
Perkhidmatan bas ekspres yang berpangkalan di situ juga pada awalnya dijadual dialihkan ke hentian sementara di Jalan Galloway, berhampiran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
"Namun, perkhidmatan teksi ke Genting Highlands dan kereta sewa menghala ke utara dan selatan masih terus beroperasi di Hentian Puduraya," kata kenyataan itu.
Untuk ke terminal di Bukit Jalil, orang ramai boleh menggunakan pengangkutan awam seperti sistem transit aliran ringan (LRT), teksi dan bas selain perkhidmatan bas RapidKL dengan kekerapan setiap 15 minit.
Gerai makan, surau, tandas awam dan ruang niaga turut disediakan di kawasan letak kereta stadium hoki bersebelahan terminal sementara itu.
Selain itu, kaunter pertanyaan di bawah seliaan UDA Mall turut disediakan di Hentian Puduraya dan di terminal sementara Bukit Jalil.
Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai perpindahan tersebut di talian hotline 03-20787017 dan 03-20786018.
Penutupan Hentian Puduraya bertujuan memberikan keselesaan kepada pengguna serta langkah drastik dalam menangani masalah ketidakselesaan, kekurangan kemudahan dan kesesakan lalu lintas di sekitar hentian yang beroperasi sejak 1976 itu.
Sementara itu, jurucakap UDA Holdings yang dihubungi berkata, tapak hentian sementara di hadapan IPK Kuala Lumpur tetap akan digunakan sebagai hentian bas henti-henti.
Katanya lagi, pemilihan Bukit Jalil sebagai tapak hentian sementara adalah bertujuan mengelakkan berlaku kesesakan di hadapan IPK Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan