Ahad, 18 April 2010

LAPANGAN TERBANG LAHAD DATU, JANJI KOSONG BN?


Oleh: MUTALIB M.D


PERTELAGAHAN dua Adun dan Ahli Parlimen Silam mungkin menyebabkan rakyat menyifatkan cadangan untuk membina Lapangan Terbang Baru Lahad Datu hanya janji kosong Barisan Nasional.

Ketua Cawangan UMNO Tanjung Labian, Kunsul Nahul berkata, cadangan Lapangan Terbang Baru sudah lebih sepuluh tahun berkumandang apabila lapangan terbang sekarang yang dibina ketika pemerintahan Jepun tidak lagi boleh dianggap sebagai Lapangan Terbang di daerah yang terkenal dengan POIC dan ‘Rotterdam Of The East’!

“Setiap kali Menteri atau Timbalan Menteri Pengangkutan datang melawat ke Lapangan terbang antik ini, mereka menjanjikan harapan Lahad Datu akan mendapat lapangan terbang baru. Mula-mula dalam Rancangan Malaysia ke 9 (RMK9) dan kini diubah ke RMK-10. Bila tiba RMK-10 tidak cukup wang, mungkin dipindah lagi ke RMK-11,” ujar Kunsul yang jengkel dengan janji pemimpin BN yang bakal menyebabkan UMNO akan kehilangan tiga kerusi DUN dan satu kerusi parlimen di Silam jika isu ini tidak ditangani dengan baik.

Kata Kunsul, ramai peniaga marah kerana mereka terpaksa berbelanja lebih menggunakan Lapangan Terbang Tawau kerana tidak ada perkhidmatan kargo di Lapangan Terbang Lahad Datu sejak lebih 10 tahun lalu.

“Janji untuk membina Lapangan Terbang Baru bernilai RM500 juta ketika lawatan Datuk Lajim Ukin pada 2008 hanya tinggal janji Melayu kerana dalam lawatan Timbalan Menteri baru, Datuk Abdul Rahim Bakri pada 2009, beliau menyatakan peruntukan RMK-9 tidak mencukupi dan terpaksa dibawa ke RMK-10 dengan syarat mengurangkan kos daripada RM500 juta kepada RM200 juta,” tegas Kunsul yang meminta agar pemimpin BN tidak lagi berjanji kerana sukar bagi Ketua Cawangan UMNO untuk mematahkan isu ini jika digunakan pembangkang pada pilihanraya akan datang.

Menurut Kunsul, rakyat Silam tidak mempedulikan di mana Lapangan Terbang Baru akan dibina kerana bagi mereka Lapangan Terbang Antik ini bukanlah sebuah Lapangan Terbang sebaliknya sebuah padang terbang seperti Long Pasia sekalipun ianya terletak di kawasan Bandar Lahad Datu.

Tegasnya, beliau kesal kerana para pemimpin BN terutama Adun dan Ahli Parlimen gagal mencapai kata sepakat untuk mencari lokasi membina Lapangan Terbang Baru Lahad Datu semata-mata kerana ingin ‘merebut’ projek berkenaan untuk kepentingan politik masing-masing.

“Sebagai Ketua Cawangan UMNO Silam, saya malu apabila rakan kami di Semenanjung Malaysia dan pembangkang memperlekehkan POIC Lahad Datu dan Pelabuhan tercanggih di Asia, Rotterdam Of The East yang terletak di POIC hanya menjadi Gajah Putih kerana kesukaran perhubungan,” kata Kunsul yang menyifatkan rancangan untuk mendaratkan kapal terbang yang lebih besar seperti Boeing 737 and Airbus A330 hanya mimpi di siang hari.

Kunsul turut kesal kerana Adun Lahad Datu turut berjanji kosong dan memutar belitkan kenyataan kononnya kawasan 324 hektar telah tersedia dan sesuai untuk membina lapangan terbang baru dan memilih Sandau sebagai lokasi utama; sedangkan peruntukan yang sedia ada dalam RMK-10 dan RMK-11 tidak mungkin mampu untuk membina Lapangan Terbang Baru disebabkan kos pampasan dan pembinaan akan melonjak kepada RM1bilion.

“Cadangan paling sesuai ialah di daerah Tungku kerana lebuhraya sudah sedia ada dan tidak memerlukan wang yang begitu banyak untuk pampasan. Kita harap agar dua Adun yang bertelagah ini dapat mencari penyelesaian dengan nasihat Ahli Parlimen Silam agar tidak terus merugikan rakyat. Lahad Datu sepatutnya telah mendapat lapangan terbang baru jika ianya dikemukakan kepada Unit Perancangan Ekonomi lebih awal,” jelas Kunsul yang turut mencadangkan agar POIC Fasa II di Jalan Tengah Nipah diubahsuai menjadi Lapangan Terbang Baru jika Fasa I tidak berjaya.

Tiada ulasan: