SHAH ALAM : Corak pemilihan calon yang bakal mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, amat berbeza dengan cara Barisan Nasional, kata Tan Sri Khalid Ibrahim.
Tanpa menyarakan perbezaan itu, Menteri Besar Selangor itu berkata, kriteria pemilihan calon PKR menjurus kepada beberapa aspek tertentu dan hanya calon yang benar-benar layak dan mampu memikat hati pengundi semua kaum, akan diketengahkan.
Beliau menegaskan corak pemilihan calon sebagai antara strategi PKR untuk meraih sokongan pengundi pelbagai lapisan kaum, sekali gus mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor yang dimenangi Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad pada 8 Mac 2008.
"Kita mesti mencari mereka yang boleh kita ketengahkan. Kita berbeza dengan apa yang dibuat oleh UMNO-BN. Kita melihat dari segi aspek tertentu, kita lihat siapakah yang layak yang boleh dapat memikat dan memenangi hati pengundi Hulu Selangor," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Tuisyen Rakyat peringkat negeri di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini apabila ditanya mengenai prospek calon PKR pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.
Khalid berkata, ramai pemimpin PKR yang layak dipertimbang sebagai calon dengan lima nama disenarai pendek dan identiti calon itu dijangka diumumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hulu Selangor."Walaupun nama yang disenarai pendek, belum ada keputusan muktamad tapi kita jangka pada 13 April ini, pemimpin Pakatan Rakyat akan berada di Hulu Selangor untuk membuat pengisytiharan nama calon," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan