Selasa, 6 April 2010

Kemelut YBK: MB Marah Orang Melayu Tipu Melayu

TV SELANGOR

ULU BERNAM : Tindakan tegas Kerajaan Selangor terhadap Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dengan mengambil semula tanah itu menyelamatkan aset berkenaan dari tergadai di bank, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tanpa disedari umum, beliau berkata, nilai tanah yang dicagar kepada bank, nilainya menjangkau lebih RM100 juta.

Khalid berkata demikian pada majlis Penerangan Kerajaan Selangor di Sungai Tengi bagi menjelaskan kekeliruan yang ditimbulkan media arus perdana berikutan kemelut YBK dengan kerajaan negeri.

"Saya, orang tak jaga duit saya marah. Orang tak jaga harta, saya marah. Bukan harta dia, harta rakyat. YBK bagi tanah dapat RM15 seekar. Selepas itu tak jaga, bila saya periksa tanah yang kerajaan negeri dulu bagi, diurusniagakan.

"Tak tahu dapat untung atau tidak. Rupa-rupanya sudah dicagar kepada bank melebihi RM100 juta," katanya pada Majlis Penerangan Kerajaan Selangor di Kampung Desa Maju, Sungai Tengi, Ulu Bernam.

Beliau dengan tegas dan lantang membidas sikap sesetengah orang Melayu yang hanya pandai menindas kaum mereka yang miskin dan merampas hak yang sepatutnya dinikmati mereka.

Sebaliknya, katanya, kerajaan negeri pula dituduh menjadi punca pembangunan pendidikan tidak dapat dilaksanakan atas tanah berkenaan sedangkan cadangan itu tidak pernah muncul ketika tanah itu terbiar dan hampir tergadai.

"Esok, tak adalah tanah-tanah itu. Bank bukan orang miskin yang punya. Itu sebab saya pertahankan. Sudah ramai kata saya marah pada orang Melayu, tetapi saya marah orang Melayu tipu Melayu," katanya.

Tiada ulasan: