Rabu, 7 April 2010

Ibrahim: MCA, Gerakan jangan menari rentak DAP

MALAYSIA KINI



Ahli parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali berkata MCA dan Gerakan kini dilihat mengikut rentak DAP yang giat mempertikaikan sesiapa sahaja yang mempertahankan kepentingan Bumiputera.

Beliau memberi amaran, kedua-dua parti komponen BN itu bakal kehilangan sokongan daripada golongan Melayu sekiranya terus mengambil pendirian seperti itu.

"Mereka (DAP) terus menerus memainkan jarum halus menyucuk dan memperbesar-besarkan sesiapa saja yang mempertahankan hak dasar afirmatif mempertahankan Dasar Ekonomi Baru, contohnya, maka mereka ini dicap sebagai rasis dan perkauman.

"MCA dan Gerakan juga turut sekali kerana hendak menjaga sentimen sokongan orang Cina dan mereka juga terjebak dalam permainan politik DAP.

"Akhirnya MCA dan Gerakan juga akan hilang sokongan pengundi Melayu dalam pilihanraya akan datang. Ini ingatan saya kepada pihak MCA dan Gerakan," katanya lagi ketika membahaskan usul bajet tambahan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga turut mengambil peluang untuk mengecam wakil Ipoh Timur Lim Kit Siang yang berucap sebelum itu dengan memanggilnya dengan gelaran 'Bapa Perpecahan'.

"Tadi saya dengar Ipoh Timur bukan main lagi kecam PERKASA. Saya amat bangga sebab dia sebut PERKASA, maknanya Ipoh Timur sudah mengiktiraf kekuatan dan kelantangan PERKASA dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Bumiputera.

"Beliau macam orang histeria menyalahkan PERKASA. Tapi kenapa dia tidak sebut Suqiu, kenapa dia tidak sebut Dong Jiao Zong, kenapa dia tidak sebut soal Hindraf?

"Sebab apa dia nak kata Bangsa Malaysia? Sebab dia tahu dia Cina dan juga rakyat Malaysia, dia tahu ketuanan negara ini Melayu.

"Sebab itu dia hendak hapuskan Melayu dengan memperbesarkan bangsa Malaysia dengan menindakkan Melayu sebab dia adalah bapa perpecahan Cina yang paling besar," katanya.

Tiada ulasan: