Selasa, 23 Februari 2010

Masalah peneroka, generasi kedua Felda dibawa ke Parlimen - Anwar

Oleh Roziyah Mahamad


Ketua Pembangkang, Dato Seri Anwar Ibrahim, memberi jaminan bahawa segala masalah yang dirumuskan didalam Konvensyen Peneroka dan Generasi Kedua Felda Kebangsaan akan dibawa ke Parlimen didalam persidangan akan datang.

Beliau menegaskan bahawa segala kepincangan menghadapi peneroka dan generasi kedua felda ini perlu diatasi kerana melibatkan begitu ramai rakyat yang terdiri daripada keluarga peneroka.

Beliau yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat yakin bahawa Kerajaan akan cuba mengatasi satu dua masalah yang dihadapi peneroka memandangkan bahawa peneroka-peneroka sudah semakin bersatu dan berani mengenengahkan masalah mereka, tetapi tidak secara menyeluruh memandangkan bahawa Felda kini sudah menyimpang dari arah tujuan penubuhannya untuk membasmi kemiskinan luar bandar kepada keuntungan kepada Felda sebagai badan korporat.

Dato Seri Anwar berkata demikian dalam perjumpaan hampir satu jam dengan Jawatankuasa Biro Felda.

Pengerusi Biro, Suhaimi Said, telah menggariskan masalah-masalah yang dihadapi oleh Peneroka dan Generasi Kedua kepada Dato Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Penyelidikan Biro Felda PKR Pusat Rebin, Birham telah menyerahkan Memorandum mengandungi masalah-masalah tersebut dan tuntutan-tuntutan dari Peneroka-Peneroka dan Generasi Kedua.

Anwar yakin bahawa dengan gerak kerja yang bersungguh-sungguh dan dengan semua peneroka yang memahami hak mereka, sokongan kepada calon-calon PR terutamanya di Negeri-Negeri Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Terengganu akan diberikan sepenuhnya.

Tiada ulasan: