Khamis, 25 Februari 2010

Sisi lain dari ketokohan MB Tan Sri Khalid Ibrahim

Oleh Dinsman

Selepas lebih satu jam bersama dengan Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu sesi wawancara untuk Harakah, 22 Februari, di tingkat 21 bangunan SUK, Shah Alam, saya fikir ada banyak perkara lagi mengenai beliau dan dasar serta pendekatan pentadbirannya yang patut dan perlu diketahui oleh rakyat Malaysia, khasnya rakyat Selangor.

Ada beberapa sebab mengapa saya kata begitu. Pertama, sebelum ini saya kerap juga mendengar orang merungut atau komplen tidak bersetuju dengan cara dan pendekatan pentadbiran yang dijalankan oleh beliau selaku Menteri Besar Selangor. Dan rungutan serta komplen yang saya dengar itu bukannya daripada mulut orang Umno/BN atau mulut orang kampung di Sabak Bernam atau di Dengkil, tetapi daripada mulut orang yang ada jawatan dalam kerajaan dan dalam parti KeAdilan sendiri.

Kata mereka Tan Sri Khalid cuba membawa cara pentadbiran korporat ke dalam pentadbiran kerajaan negeri. “Dia nak buat kerajaan Selangor macam dia pernah buat dengan syarikat Guthrie dia dulu, mana boleh! Ini politik, kenalah buat cara politik,” kata mereka.

Sesi wawancara petang itu saya mulakan dengan soalan: “Merakyatkan Ekonomi Selangor –mengapa pada mula-mula dulu Tan Sri memilih tema ini untuk dijadikan dasar bagi pentadbiran Tan Sri?”

Wah, rupa-rupanya soalan itu telah menjentik sesuatu yang dasar pula dalam pemikiran beliau. Konsep dan pemikiran mengenai “Merakyatkan Ekonomi Selangor” itu rupa-rupanya bukan satu perkara baru, yang baru difikirkannya apabila menjadi Menteri Besar atau sewaktu pilihanraya umum 2008. Konsep itu sudah lama berada dalam fikirannya. Tahun 2006 lagi dia pernah membentangkan sebuah kertaskerja mengenai tajuk itu.

Dan ketika dia menghuraikan pemikiran serta falsafah di belakang konsep itu, jelas dapat saya fahami bahawa “Merakyatkan Ekonomi Selangor” itu bukan sekadar suatu konsep, apatahlagi suatu slogan, tetapi ia suatu perancangan yang lengkap dengan program-program pelaksanaan (jangka panjang dan jangka pendek) yang dibinanya berdasarkan pengalaman penglibatannya dalam program membantu Bumiputra melalui PNB dan Amanah Saham Nasional (ASN) serta Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Konsep “merakyatkan” itu sendiri bagi Tan Sri Khalid bukanlah sesuatu yang baru, kerana itu sebenarnya adalah konsep yang pernah digunapakai olehnya sewaktu melaksanakan program Amanah Saham dahulu lagi. Jadi apa yang dilakukannya sekarang adalah melaksana-kan versi baru yang telah diuji dan dikemaskini, sesuai dengan persekitaran yang baru.

Ini adalah perancangan atau plan yang dibina semula dengan mengambilkira kelemahan dan kegagalan yang dialami dalam PNB, ASN dan DEB. Atau ia boleh juga dilihat sebagai suatu teori pembangunan yang diformulasi bagi menjawab kelemahan dan masalah yang pernah dialami dalam dasar-dasar pembangunan terdahulu.

Sewaktu membuat huraian itu beliau mengaku yang beliau jarang menghuraikan pemikirannya itu, kerana orang susah memahaminya. “Ia mesti dilaksanakan,” tegasnya. “Orang akan memahaminya apabila ia dilaksanakan.”

Seperti saya selalu tulis mengenai kelainan dan keistimewaan dalam pentadbiran Tok Guru Nik Aziz di Kelantan, saya kira TS Khalid juga mempunyai kelainan dan keistimewaan tersendiri, yang setelah hampir genap dua tahun usia kepimpinannya di Selangor, beberapa perkara daripada program pembangunan ekonomi yang dilaksanakannya telah menunjukkan bukti kejayaannya.

Saya percaya kawan-kawan saya yang berkenaan itu akan perli saya kalau mereka baca kolum ini. Mungkin mereka kata saya sengaja nak puji TS Khalid kerana sesuatu sebab. Sebenarnya tak ada sebab apa-apa pun. Memang saya terasa begitu. Bukan saya seorang. Kawan saya Kassim pun sama. Ada banyak perkara yang orang (dan kita) kurang memahami dia.

Kata Kassim, “Kalau rakyat Selangor faham dan tahu apa yang nak dibuat oleh TS Khalid, Umno/BN tak mungkin boleh ambil Selangor lagi.”

Tak mengapalah itu. Kemudian, tidak kurang menariknya ialah perbualan kami sewaktu menjamu selera selepas selesai sesi wawancara itu. Saya inginkan kepastian terhadap maklumat yang pernah saya dengar bahawa TS Khalid pernah membuat kajian mengenai Umar Abdul Aziz.

Nah, memang betul. Dan itu pun suatu subjek yang sangat menarik minatnya. Mengapa tidak! Mengimbau kembali zaman di Universiti Oxford dengan sesi-sesi perbincangan yang bebas tanpa sebarang sekatan dan syarat-syarat seperti yang dikenakan ke atas universiti-universiti kita di sini.

Dan ketika dia bercerita tentang kajiannya terhadap Umar Abdul Aziz dan pentadbirannya yang sesingkat hanya dua tahun itu namun berjaya mengatasi masalah kemiskinan di negaranya dan macam-macam keistimewaan lagi itu, saya cuba menghubungkannya dengan pemikiran TS Khalid tadi, di dalam perancangan dan formula “Merakyatkan Ekonomi Selangor” itu. Tentunya di sana sini terselit juga pemikiran yang diambilnya dari hasil kajiannya terhadap pentadbiran Umar Abdul Aziz itu.

(Sebenarnya kajian TS Khalid ialah mengenai perbandingan antara dua Umar, iaitu Umar al-Khattab dan Umar Abdul Aziz).

Maaflah kawan-kawan! Petang itu saya melihat satu sisi lain lagi pada TS Khalid, selain dari ketokohannya dalam bidang pengurusan korporat, dan kini sebagai tokoh politik (Menteri Besar). Saya melihat sisi intelektual dari tokoh pimpinan baru ini. Perbincangan kami petang itu pun persis perbincangan intelektual. Maka saya mencadangkan supaya diadakan satu sesi khas untuk beliau menyampaikan kuliah mengenai kecemerlangan pentadbiran Umar Abdul Aziz.

“Lim Guan Eng mesti datang untuk dengar kuliah ini,” kata saya, disambut ketawa mereka yang hadir. Dan saya gembira kerana TS Khalid seakan-akan bersetuju dengan cadangan saya itu. Dan saya pasti akan buat follow-up perkara ini, kerana saya fikir ia sesuatu yang perlu dilakukan.

Oh ya, bagi pihak kawan-kawan saya pun bertanya kepada TS Khalid, mengapa dia mengekalkan ramai CEO lama yang kebanyakannya kroni Umno di dalam syarikat-syarikat GLC milik kerajaan negeri Selangor. Kenapa tidak ditukarkan dengan “orang-orang kita”? Jawapannya – sila tunggu Harakah keluaran akan datang.

Tiada ulasan: