Khamis, 25 Februari 2010

800 Warga Emas, Mahasiswa, Kanak-Kanak Terima Sumbangan MES

TV SELANGOR


Tiga kumpulan meliputi 800 orang bakal menerima sumbangan kerajaan Selangor melalui program Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Skim Mesra Usia Emas dan Hadiah Masuk Universiti, malam ini.

Seramai 300 kanak-kanak, warga emas (300) dan mahasiswa (200) menerima sumbangan yang bakal disampaikan Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sumbangan itu akan disampaikan melalui Majlis Semarak Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) mulai jam 8 malam hingga ke 11 malam di Dewan Bola Tampar MBSA, Shah Alam.

Program MES itu dilancarkan dua tahun lalu bagi memberi manfaat kepada golongan miskin di Selangor tanpa kira kaum dan agama.

Program ini dianjur menjelang ulang tahun ke-2 pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor yang bertujuan menerangkan kejayaan program MES bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat di Selangor.

Antara program MES fasa pertama ialah bekalan air percuma bagi 20 meter padu pertama, Pusat Khidmat Krisis Sehenti, Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang, Program peningkatan hasil daripada bahan batuan dan mineral.

Program MES fasa kedua pula ialah cuti bersalin 90 hari, cuti untuk suami yang isterinya bersalin selama 14 hari dan cuti kematian suami selama 30 hari bagi kakitangan awam.

Tiada ulasan: