Khamis, 25 Februari 2010

Maya Karin tak putus asa selamat rumah tangga

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Pelakon Maya Karin, 31, dan suami, Steven David Shorthose atau nama Islamnya, Muhammad Ali, 40, belum berputus asa, sebaliknya masih berusaha gigih untuk menyelamatkan rumah tangga mereka yang kini berdepan masalah getir.

"Maya, beliau amat bersyukur sekiranya perkahwinan yang dibina pada Ogos 2008 itu dapat diselamatkan.

"Jika sebaliknya berlaku, ia pastinya menyedihkan kami. Namun begitu, kehidupan tidak terhenti setakat itu. Saya sedar, masalah kami ketika ini boleh berakhir dengan perceraian, tetapi kita hidup cuma sekali dan kita berhak mencari kebahagiaan.

"Sebagai manusia, kita berhak untuk terus mencuba. Pada masa sama, semua orang tidak dapat mengelakkan berdepan dengan cabaran," katanya pada sidang media di Mont Kiara, di sini, semalam.

Maya yang enggan berkongsi masalah sebenar berkata, kesukaran dihadapi sebenarnya sudah wujud agak lama.

"Saya bukan hendak berahsia dengan sesiapa. Tetapi, kami tidak berkongsi masalah ini dengan orang lain kerana masih berusaha menyelamatkan perkahwinan ini," ujar

Maya yang menafikan kewujudan orang ketiga sebagai punca keretakan rumah tangga. Maya digosipkan dengan Remy Ishak yang berlakon bersamanya dalam teater Natrah.

Pelakon filem Pisau Cukur itu juga menggesa peminat supaya tidak membuat andaian bukan-bukan terhadap masalah yang dihadapi mereka ketika ini.

"Cuma saya ingin nyatakan di sini, saya sememangnya bersedia untuk berdepan dengan apa saja kemungkinan yang berlaku pada masa depan," katanya yang ditemani pengurus, Azlin Abas.

Tiada ulasan: