Jumaat, 26 Februari 2010

Tokoh hadis: Kelantan setuju hantar pelajar ke India

Mohd Nor Yahya


KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan pada dasarnya telah bersetuju untuk membuat kerjasama pendidikan dengan dua buah institusi pengajian agama di India iaitu Darul Ulum, Deoband dan Lucknow di New Delhi dalam melahirkan ramai tokoh hadis di negeri ini.

Ini kerana di kedua-dua tempat tersebut merupakan universiti tertua di India dan telah melahirkan ramai tokoh agama, antaranya tokoh tempatan ialah Menteri Besar,Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, baru-baru ini satu rombongan pendidikan telah dihantar ke kedua-dua tempat tersebut dan telah membuat perbincangan secara mendalam dari segi sukatan pelajaran dan pengiktirafan dari negara lain.

“Alhamdullillah,k edua-dua tempat tersebut mendapat pengiktirafan dari Al-Azhar, pelajar boleh menyambung pelajaran di tahun tiga di mana-mana universiti Al-Azhar,” ujar beliau.

Katanya, kerajaan akan membuat tawaran kepada pelajar-pelajar di bawah Yayasan Islam Kelantan pada tahun ini sebaik sahaja urusan untuk mendapatkan visa dari Kedutaan India mendapat kelulusan kerana hubungan pendidikan dalam bidang agama telah terputus semenjak 20 tahun yang lalu.

“Baru-baru ini, Pesuruhjaya Tinggi India datang mengunjungi Tuan Guru (Nik Abdul Aziz) dan Tuan Guru telah membuat permohonan agar diberi peluang semula kepada mana-mana rakyat negara ini untuk melanjutkan pelajaran di dua buah universiti terkemuka tersebut dan pada dasarnya Pesuruhjaya Tinggi India bersetuju,” kata beliau lagi.

Mohd Amar ditemui di majlis Penyampaian Elaun Guru-Guru Pasti Kelantan di Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR 10 hari ini. Turut hadir ialah Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ahmad Baihaki Atiqullah dan Ketua Pemuda PAS negeri, Abdul Latif Abdul Rahman.

(Gambar: Mohd Amar menyampaikan elaun kepada seorang guru Pasti Kelantan.)

Sementara itu, menurut Pengarah Pasti negeri, Abdul Latiff Abdul Rahman, guru-guru Pasti Kelantan telah menerima tunggakan elaun bagi tempoh empat bulan iaitu Oktober, November 2009 serta Januari dan Febuari 2010.

Sejumlah RM323,360 telah disampaikan kepada 592 guru Pasti dari seluruh negeri di mana Pasti Kelantan pada masa kini mempunyai 298 cawangan dengan seramai 11,230 pelajar.

Abdul Latif juga berkata pada tahun ini, Pasti negeri telah mendapat peruntukan sejumlah RM2 juta dari kerajaan negeri bagi membiayai elaun dan pengurusan Pasti.

“Kami di Pasti Kelantan melahirkan rasa terima kasih di atas keperihatinan kerajaan negeri dalam melahirkan generasi yang bertakwa,” katanya.

Tiada ulasan: