Ismail Hashim |
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan rasa syukur ekoran negeri ini menerima pelaburan sebanyak RM6 bilion pada tahun lepas (2009) sedangkan tohmahan yang dibuat adalah sebaliknya jika Pakatan Rakyat memerintah. “Data yang dikeluarkan oleh MIDA menyatakan Selangor berada di tangga kedua pencapaian tertinggi pelaburan di Malaysia selepas Sarawak yang menerima pelaburan aluminium yang menelan belanja sangat besar. “Namun Selangor menerima lebih 200 pelabur yang menunjukkan pelaburan yang paling banyak di Malaysia yang memberi erti bila pelaburan bertambah, ekonomi rakyat negeri juga akan bertambah,” jelasnya lagi. Dalam keadaan sekarang pun, tambahnya, kilang-kilang elektronik masih kekurangan sebanyak 15,000 pekerja yang sewajarnya diambil kesempatan oleh pekerja tempatan namun bila diadakan Kempen Jom Kerja, bilangan yang didapati sangat kecil. Abdul Khalid berkata demikian ketika berucap merasmikan program Semarak Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang diadakan di Seksyen 19, di sini malam tadi, yang turut dihadiri Penasihat Ekonomi negeri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Rodziah Ismail. (Gambar: Anwar mendukung seorang kanak-kanak pada majlis tersebut) Beliau berkata, pembangunan ekonomi sesebuah negeri hanya berkesan dan bermanfaat bergantung penuh kepada sejauh mana rakyat mendapat kebajikan daripadanya. Kerana itu, jelasnya, kerajaan negeri melakukan berbagai usaha dan pembaikan bagi memastikan semua pengurusan ekonomi dapat dikemaskan sebaiknya secara berterusan supaya kekayaan negeri dapat diagihkan kepada mereka yang berhak. Menurutnya, tidak ada gunanya negeri membangun jika rakyat tidak merasai nikmat pembangunan itu kerana itu perancangan yang baik dilakukan oleh Kerajaan Selangor untuk memberi peluang kepada rakyat. “Dari segi pembangunan sudah tentu ada jurang antara berada dan tidak berada namun usaha untuk kurangkan jurang antara kedua golongan kaya dan miskin supaya semua rakyat mendapat manfaat ekonomi,” tambahnya lagi. Turut berucap adalah Datuk Seri Anwar dan Rodziah dalam majlis ringkas tetapi meriah itu dengan kehadiran wakil 800 penerima sumbangan kerajaan negeri melibatkan warga tua, mahasiswa dan kanak-kanak. Dalam majlis itu juga, menteri besar turut melancarkan portal MES (http://mes.selangor.gov.my/mes/lang/malay/main.php) yang memuatkan data-data tentang perkembangan MES terkini. Sementara itu, ibu bapa kepada pasangan kembar, ‘Aisyah Zulaikha dan ‘Aisyah Zafira, setahun setengah, Ruzita Ismail, 38, dan Mohamad Bahrin, 46, dari Seksyen 8, dekat sini menyatakan rasa gembira kerana anak mereka dapat turut serta dalam Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas). (gambar kanan) “Saya tidak sangka begini cepat Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dapat tunaikan janji mereka dengan memberikan RM100 kepada anak-anak yang baru lahir di negeri ini,” jelas gembira di wajah Ruzita kerana menerima terus dari tangan menteri besar dalam majlis itu. |
Rabu, 24 Februari 2010
Selangor terima pelaburan RM6 bilion tahun lepas
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan