Rabu, 24 Februari 2010

P'raya: Umno diminta utama calon muda

Abdul Rahim Sabri


Pemuda Umno Selangor dan Kelantan menggesa pucuk pimpinan parti supaya memberi peluang kepada lebih ramai anggota Pemuda Umno yang mendapat sokongan akar umbi, dipilih bertanding dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Menurut mereka, langkah tersebut penting bagi menjamin kemenangan dan sekaligus memenangi semula kawasan yang dirampas Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum 2008.

Ketua Pemuda Selangor Suhaimi Mohd Ghazali berkata sekiranya kepimpinan Umno dan BN masih mengamalkan pemilihan calon 'payung terjun', maka rakyat akan terus menolak mereka dalam pilihan raya umum akan datang.

"Rakyat nak seorang calon yang merupakan anak tempatan di kawasan yang mereka wakili dan mempunyai latar belakang yang dikenali oleh penduduk.

"Saya bersetuju dengan ahli parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad bahawa dalam pilihan raya akan datang calon, jika Umno dan BN meletakkan 'payung terjun' kita akan terus melihat penolakan Umno dan BN," katanya kepada Malaysiakini.

Suhaimi mengulas wawancara Shahrir oleh Malaysiakini minggu lalu yang menyatakan kemenangan besar Umno dan BN dalam pilihan raya umum 2004 telah membuat kepimpinan tertinggi parti itu membuat kesilapan dalam pemilihan calon sehingga berlakunya tsunami politik pada 2008.

Katanya dalam pilihan raya 2004, Umno mencatatkan prestasi terbaiknya dengan memenangi 101 kerusi parlimen. Bagaimanapun, selepas pilihan raya umum 2008, jumlahnya merosot 23 orang, kepada 78.

Shahrir yang juga ketua Umno bahagian Johor Bahru berkata, satu lagi kesilapan Umno dan BN ialah memilih calon tempatan tetapi para pengundi dan jentera pilihanraya parti, melihat mereka tidak layak diletak sebagai calon.

Mengulas lanjut, Suhaimi berkata, walaupun mereka mengiktiraf pemimpin yang berpengalaman dalam pilihan raya, tetapi pucuk pimpinan harus memberi peluang dan ruang kepada pemimpin baru.

Ini kerana, katanya, adalah untuk menarik sokongan golongan muda kepada Umno dalam pilihan raya yang akan datang berdasarkan kepada kecenderungan dalam pilihan raya umum yang lalu.

"Pada pilihan raya umum 2008, ramai calon-calon muda yang diketengahkan oleh parti pembangkang. Jadi orang muda seronok kepada mereka.

"Oleh itu saya percaya pucuk pimpinan Umno akan melakukan satu perubahan dengan mengetengahkan calon muda (dalam pilihan raya akan datang)," katanya.

Suhaimi menambah kesemua enam calon Pemuda negeri yang bertanding dalam pilihan raya yang lalu menang di kawasan yang mereka tandingi.

Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian juga bersetuju dengan Shahrir yang juga bekas menteri kabinet kerana pemilihan calon merupakan faktor penting dalam menjamin kemenangan Umno dan BN dalam pilihan raya akan datang.

Malah, kata Anuar, pucuk pimpinan juga perlu memilih calon yang "popular dan berwibawa di peringkat bahagian walaupun tidak memegang sebarang jawatan penting".

"Kita harus melihat ramai Pemuda harus diberi peluang. Tidak hanya kepada ketua-ketua bahagian tetapi kepada anggota Pemuda yang berumur bawah 40 tahun supaya ada pelapis baru.

"Pemuda dapat mencari pengalaman dalam hal politik. Saya berharap parti memberi pertimbangan sewajarnya.

"Ia bagus sebagai satu galakan agar pemimpin turun ke bawah. Ia bukan sekatan. Memegang jawatan tertentu bukan sebagai penentu (menjadi calon)," katanya.

Anuar juga mencadangkan pucuk pimpinan melihat bagaimana PAS mempraktik kaedah meletakkan "ikon besar" mereka untuk bertanding di kerusi di Kelantan.

Tiada ulasan: