Jumaat, 26 Februari 2010

BN Sarawak: Kemelut Dalaman PRS & SPDP

BERNAMA


Parti Rakyat Sarawak (PRS) menafikan parti itu cuba campur tangan dalam krisis dalaman Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP).

Presiden PRS Datuk Seri Dr James Masing menafikan dakwaan beliau cuba melaga-lagakan Presiden SPDP Datuk Seri William Mawan dengan kumpulan pemimpin kanan parti itu yang diketuai Naib Presiden Datuk Peter Nansian Ngusie, yang mendesak bagi penggabungan segera dengan PRS.

“Saya tidak menjadi batu api. Sebab itu kenapa SPDP melalui Peter Nansian dan Sylvester Entri mengumumkan pada Ahad bahawa mereka mahu bergabung dengan kami dengan kadar segera. Mungkin kerana wujud salah faham dalam SPDP, itu bukan masalah saya. Itu hal mereka.

“Saya sebagai anggota Barisan Nasional (BN) yang bertanggungjawab bersetuju untuk membantu mereka (SPDP). Saya beritahu mereka yang mereka perlu menjadi inklusif. Ia (cadangan penggabungan) mesti dibuka kepada sesiapa yang mahu menyertainya di kemudian hari.

“Saya cuba membantu mereka bagi memperkukuhkan BN negeri bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat PRS di Jalan Pending di sini.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah kumpulan pemimpin kanan dalam SPDP, diketuai Nansian yang mengumumkan bagi penggabungan segera dengan PRS pada Ahad.

Lainnya ialah Entri (wakil rakyat Marudi), Paulus Palu Gumbang (wakil rakyat Batu Danau) ), Rosey Yunus (wakil rakyat Bekenu) manakala anggota Parlimen Mas Gading Datuk Tiki Lafe tidak hadir.

Pada Ahad, kumpulan itu mengumumkan tanpa pengetahuan presiden parti, mendesak penggabungan segera dengan PRS ekoran cadangan penggabungan itu telah tertangguh terlalu lama.

Kumpulan itu kecewa dengan keputusan Mawan untuk menggugurkan Entri sebagai setiausaha agung parti kerana Mawan pernah berjanji akan mengekalkan status quo barisan kepimpinan parti selepas pemilihan parti Disember lepas.

Mengenai cadangan penggabungan antara PRS dan SPDP, Dr Masing berkata PRS gembira dan berminat untuk membincangkan mengenai penggabungan itu.

Dr Masing berkata Jawatankuasa Penggabungan kedua-dua parti akan membincangkan dan merumuskan kerangka bagi penggabungan dalam beberapa minggu akan datang sebelum mendapatkan maklum balas daripada akar umbi.

Tiada ulasan: