Rabu, 24 Februari 2010

Wajib guna kotak berinsulasi jejas bekalan ikan

UTUSAN ONLINE


IPOH - Bekalan ikan dalam negara akan berkurangan jika kerajaan meneruskan langkah mewajibkan pemborong dan pengimport ikan menggunakan Kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan (KIBFG) mulai 1 Mac ini.

Malah, lebih membimbangkan, harga ikan di pasaran akan melambung tinggi jika langkah itu diteruskan kerana pengimport akan menaikkan harga ikan bagi menampung kos pembelian KIBFG.

Pengerusi Jawatankuasa Pengimport/Pemborong Ikan dan Sumber Laut Malaysia, Datuk Yusoff Ismail berkata, ini berikutan harga kotak itu berlipat kali ganda lebih mahal berbanding tong plastik yang digunakan sekarang.

Justeru tegasnya, pihaknya akan terus menggunakan tong plastik kerana ia tidak mempunyai sebarang masalah dan disahkan selamat digunakan oleh Jabatan Kesihatan.

Katanya, sebanyak 1,500 tan metrik ikan yang diimport dari Thailand dan Indonesia setiap hari mungkin tidak dapat dibawa masuk ekoran penguatkuasaan penggunaan KIBFG itu.

''Kami tidak berhasrat untuk berhenti membawa masuk ikan import tetapi jika Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) paksa juga kami tukar kepada kotak berinsulasi, ikan tidak dapat dibawa masuk kerana kami tidak mampu membelinya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengimport/Pemborong Ikan dan Sumber Laut Malaysia di sini hari ini.

Pada 24 Oktober 2009, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar mengumumkan penggunaan KIBFG diwajibkan bagi pengimportan ikan basah khususnya kepada pemborong dan pengimport ikan berkuat kuasa 1 Mac tahun ini.

Beliau berkata, penguatkuasaan itu mengambil kira pewartaan penggunaannya pada 2006 yang tertangguh disebabkan pelbagai alasan daripada pemborong dan pengimport ikan.

Tindakan tersebut mengundang kemarahan pemborong dan pengimport ikan kerana menteri terdahulu, Datuk Seri Mustapa Mohamed membatalkan penguatkuasaan penggunaan KIBFG.

Namun, pada masa sama beliau menggalakkan mereka menukar kepada tong berinsulasi secara berperingkat.

Menurut Yusoff, tindakan mewajibkan mereka membeli KIBFG hanya daripada KF Marketing Sdn. Bhd. yang ditaja LKIM adalah cubaan menekan pengusaha membeli tong itu yang begitu mahal, sekali gus mengakibatkan harga ikan melambung tinggi di pasaran.

Katanya, tindakan tersebut menampakkan sikap monopoli syarikat untuk menindas rakyat sedangkan lima kilang lain bersetuju menjual kotak tersebut pada harga lebih murah.

''Kami memohon kerajaan supaya kotak berinsulasi dapat dibeli di pasaran terbuka dan pengusaha dibenarkan menukarnya secara berperingkat apabila tong plastik biasa mengalami kerosakan," ujarnya.

Kotak ikan plastik yang diguna pakai sekarang berharga RM28 bagi berat 30 kilogram tetapi kotak berinsulasi yang dijual KF Marketing Sdn. Bhd. berharga RM105 sebuah.

Bagi kotak plastik seberat 100 kilogram pula harganya RM125 berbanding kotak berinsulasi berharga RM230 sebuah.

Dalam pada itu beliau memberitahu, penggunaan kotak berinsulasi akan menambah kos pengangkutan kerana memerlukan banyak lori untuk mengangkutnya berbanding tong plastik.

''Bagi tong plastik yang dibawa menggunakan tiga lori kontena, selepas ikan dipasarkan boleh dibawa pulang dengan sebuah lori kontena sedangkan kotak berinsulasi terpaksa diangkut dengan tiga buah lori kontena juga walaupun selepas ikan dipasarkan," katanya.

Tiada ulasan: