Oleh Masdar Wahid
KUALA LUMPUR : Segala kezaliman, penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa dan jenayah yang berlaku pada hari ini hatta daripada seorang yang mengaku Islam, menunjukkan jauhnya si pelakunya daripada ajaran Rasulullah s.a.w walau mereka menyambut kelahiran baginda setiap tahun.
Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, baginda Rasulullah s.a.w. tidak mewariskan harta pusaka dan kekayaan kepada umatnya selepas kewafatannya, tetapi yang diwariskan adalah ilmu yang menjadi panduan hakiki, akhlak yang terpuji, sebuah perjuangan suci dan sebuah cara hidup yang sempurna.
"Sesungguhnya, perasaan kita penuh dengan kerinduan kepada Rasulullah s.a.w. Sebagai seorang yang mencintai baginda, tentu sekali kita sentiasa terkenang akan sirah perjuangan dan lakaran pengorbanan Rasulullah s.a.w. sehingga kita semua dapat menerima cahaya keIslaman dan hidayah dari Allah untuk mengecapi nikmat berharga iman dan Islam.
Namun kita sebagai seorang Muslim perlu sentiasa bermuhasabah sejauh manakah kecintaan yang disebut dan diungkapkan ini benar-benar tertanam dengan kukuh di lubuk hati kita?
"Sejauh manakah kita melakukan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dalam lakaran perjuangannya, yang kemudiannya disambung tali-menali hingga ke hari ini,” soal beliau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang itu mengajak seluruh umat Islam menghayati firman Allah yang bermaksud:
“Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)”. (Surah Saba’: 28)
Beliau yang juga mantan Menteri Besar (MB) Terengganu menegaskan, sambutan maulidurrasul bukan sekadar slogan, bercuti dan berarak tetapi lebih daripada itu.
“Tidak cukup kita menunjukkan rasa gembira dengan bercuti, mengadakan perarakan dan berslogan mencintai Rasulullah.
Akan tetapi gembirakanlah Rasulullah s.a.w. dengan mengamalkan dan menegakkan segala suruhan baginda, serta meninggalkan dan berusaha menghalang segala yang dibenci baginda,” katanya sempena perutusan Maulidur Rasul 1431.
Beliau itu turut menyeru setiap individu muslim dan pemerintah bersama-sama mengamalkan sunnah rasulullah s.a.w sepanjang hayat seterusnya menyambung perjuangan yang ditinggalkan oleh baginda kepada umatnya.
“Rasulullah s.a.w. meninggalkan sebuah perjuangan suci sebagai rahmat ke seluruh alam untuk kita sambung dan teruskan.
Segala kezaliman, penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa, jenayah, yang berlaku pada hari ini hatta dari seorang yang mengaku Islam, menunjukkan jauhnya si pelakunya dari tinggalan Rasulullah s.a.w. walau dia menyambut kelahiran baginda saban tahun.
Marilah sama-sama kita pasakkan keazaman untuk menyambung perjuangan Rasulullah s.a.w. hingga ke akhir hayat kita.
Sebagai seorang individu, marilah pula kita menghayati dan mengamalkan peninggalan Rasulullah s.a.w. Seorang pemimpin meletakkan azam untuk menegakkan sunnah di dalam kepimpinannya.
Sebuah kerajaan lebih-lebih lagi berkomited mengamalkan segala suruhan Allah SWT dan Rasul s.a.w. di dalam segala aspek pentadbirannya.
Semoga kita semua bertambah cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan beroleh cinta Allah dan Rasul-Nya. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1431,” tegas Ahli Parlimen Marang itu.
Terdahulu, beberapa ahli Umno berdemonstrasi di Pulau Pinang sebagai membantah pembatalan sambutan perarakan di negeri itu walaupun ia sebenarnya bukan sahaja diadakan tetapi tempohnya dipanjangkan malah lebih banyak majlis ilmu diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat yang di terajui Ketua Menteri bukan Islam, Lim Guan Eng.
Berbanding di zaman Umno/BN memerintah, Pulau Mutiara itu kerap menyekat ceramah agama walaupun berpuluh-puluh tahun Umno menjadi majoriti dalam kerajaan BN di negeri itu.
Beberapa hari selepas demonstrasi Umno di Pulau Pinang, beberapa negeri di yang diperintah oleh BN mengumumkan tiada perarakan diadakan di negeri mereka sekaligus menempelak kembali kokokan Umno di negeri itu.
Berbanding perarakan maulidurrasul, Umno nampaknya lebih suka calonnya perasuah dan pernah dibuktikan bersalah daripada menjadi calon pilihanraya dan tiada demonstrasi membantah calon perasuah itu.
Adun Bagan Pinang, Isa Samad ialah calon kesayangan Umno terutamanya Presiden Umno, Najib Razak walaupun beliau tahu calon itu pernah dihadapakan oleh partinya sendiri kerana terlibat dengan rasuah.
Sehingga kini Umno kerap melaungkan 'Semangat Bagan Pinang' yang merujuk kepada kemenangan calon perasuahnya, Isa Samad termasuklah dalam perhimpunan Umno beberapa bulan lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan