Isnin, 7 Disember 2009

Sukan diwajibkan dalam kokurikulum

UTUSAN ONLINE


MUAR – Kokurikulum pendidikan negara akan diubah bagi menjadikan sukan sebagai aktiviti wajib sekali gus sebagai komponen penting dalam pendidikan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu bertujuan mencungkil potensi dan kebolehan pelajar menerusi pelbagai bidang serta menggiatkan lagi aktiviti sukan di negara ini.

“Kokurikulum di sekolah merangkumi pelbagai perkara sama ada sukan dan bukan sukan termasuk badan-badan uniform serta kelab dan persatuan.

“Saya hendak mengubah sedikit dasar tetapi yang wajibnya adalah sukan,” katanya ketika berucap pada majlis jamuan makan malam bersama bekas-bekas pelajar Sekolah Tinggi Muar di sini malam ini.

Hadir sama ialah rakan-rakan sekelas Muhyiddin pada tahun 1965 dan 1966 antaranya Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman; Pegawai Daerah Muar, Mislan Karmani dan Pengetua Kanan sekolah tersebut, Latifah Hamdan.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut merasmikan Muzium Warisan Sekolah Tinggi Muar yang menyimpan pelbagai dokumen penting sejak penubuhan sekolah itu pada tahun 1902.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bidang sukan mampu mencorakkan pembawaan positif para pelajar di samping meningkatkan lagi tahap kecergasan.

“Kita juga hendak bila ada acara sukan, semua keluarga datang beramai-ramai...

“Sekarang ini, nampaknya perkara ini sudah tidak lagi diberi penekanan, oleh kerana itu, kita mahu membawa balik budaya bersukan ini di sekolah-sekolah,” katanya.

Tiada ulasan: