SINAR HARIAN ONLINE
JEDDAH - Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz mengarahkan bayaran pampasan berjumlah SR1 juta (RM900,000) kepada setiap keluarga mangsa yang maut akibat banjir besar yang melanda Jeddah minggu lalu.
Raja Abdullah mengarahkan penubuhan jawatankuasa peringkat tertinggi yang dipengerusikan Gabenor Makkah, Putera Khaled Al-Faisal dan turut dianggotai Gabenor Jeddah, Putera Mishaal Majed dan wakil pelbagai kementerian.
Jawatankuasa tersebut bertanggungjawab mengkaji tahap kerosakan akibat bencana tersebut selain meneliti kesan krisis dan mencadangkan langkah-langkah untuk mengelak situasi sama berulang lagi.
"Ini amat menyedihkan kerana di sesetengah negara yang mengalami masalah sama dengan Arab Saudi, yang kurang berisiko menghadapi bencana hujan, kemusnahan disebabkan bencana tersebut tidak seteruk di Jeddah," titah Raja Abdullah.
Baginda juga berjanji akan menghukum individu yang bertanggungjawab atas tragedi tersebut.
"Kami tidak mengabaikan fakta bahawa memang berlaku kesilapan dan kegagalan di sesetengah bahagian dalam jabatan kerajaan. Ini adalah tugas kita untuk mengenal pasti individu yang bertanggungjawab dan mengambil tindakan terhadap mereka," titahnya lagi.
Bayaran wang juga akan diberikan kepada penduduk yang menyediakan penginapan kepada mangsa banjir.
Selain Putera Mishaal, pemimpin lain yang hadir dalam mesyuarat jawatankuasa di kediaman Putera Khaled itu adalah Ketua Pengarah Pertahanan Awam, Mejar Jeneral Saad Al Tuwaijri, Datuk Bandar Jeddah, Adel Fakieh, Ketua Polis Jeddah, Mejar Jeneral Ali Al-Saadi Al-Ghamdi dan pengarah jalan raya dan jambatan Makkah, Mufrih Al-Zahrani.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan