ANWAR IBRAHIM
Saya mengharapkan bulan-bulan terakhir ini, ekonomi negara mencatatkan perkembangan yang baik dan mulai melangkah keluar dari kelembapan serta kemelesetan yang menggugat kesejahteraan rakyat. Apatah lagi bahagian utara dan pantai timur semenanjung dilanda bencana alam yang tidak menentu. Sekiranya ekonomi memberi khabar gembira, sekurang-kurangnya rakyat boleh memulakan tahun 2010 berbekalkan keyakinan baru.
Namun, di sebalik berita muluk-muluk yang sering dimuatkan oleh media arus perdana, hakikatnya kedudukan ekonomi ibarat indah khabar dari rupa. Ekspot berkemungkinan besar merudum sekitar 10.5%, manakala, pengumuman MIER(Malaysian Institute of Economic Research)bahawa sasaran pertumbuhan ekonomi 5% untuk tahun hadapan perlu disemak semula serta negara memerlukan pakej ransangan ketiga yang berjumlah sekitar RM 8 billion tambah merunsingkan. Ini bermakna ketidakseimbangan belanjawan akan membengkak dan hutang negara bertambah.
Tambah merunsingkan, berkemungkinan tiada lagi subsidi gula dari kerajaan, cumanya alasan menteri bahawa ianya untuk memastikan kehidupan yang sihat ternyata tidak meyakinkan ramai orang. Apakah pihak kementerian sedar kesan penarikan subsidi ketika rakyat masih terhimpit akibat perlaksanaan dasar yang tempang, hanya membebankan, terutama kepada pengusaha-pengusaha makanan sederhana dan kecil-kecilan.
Saya kira ini sememangnya berkait rapat dengan kedudukan kewangan negara yang meruncing. Kerajaan sudah tidak berupaya menanggung kos subsidi, yang diakui bukanlah sedikit. Namun sekiranya, jumlah ketirisan yang merugikan negara segera ditangani, saya berpendapat ianya pasti dapat disalurkan kepada rakyat melalui banyak program yang bermanfaat.
Mahkamah Persekutuan hari ini mendengar kes berhubung isu pemecatan saya pada penghujung 98, Peguam Karpal Singh hari ini menegaskan dalam hujahnya bahawa Dr Mahathir telah bertindak tidak mengikut perlembagaan.
Merujuk kepada Artikel 43(5) Perlembagaan Persekutuan secara khusus menyatakanYang di-Pertuan Agong adalah kuasa yang berhak untuk membatalkan pelantikan saya dalam Kabinet Malaysia berdasarkan prinsip bahawa hanya pihak yang berkuasa melantik mempunyai hak membatalkan pelantikan.
Seksyen 29 Akta Tafsiran dan Ordinan Klasa Umum 1948 jelas menyatakan mana-mana pihak yang berkuasa untuk melantik ke sesuatu jawatan ia juga termasuk mempunyai kuasa untuk memecat atau membatalkan pelantikan itu. Manakala pendakwa melalui hujah balasnya hanya menggunakan alasan dangkal kononnya isu ini remeh untuk dibicarakan. Alahai.
Justeru itu marilah kita bersama sama berdoa dan berusaha membawa negara ini keluar dari lingkaran kebejatan yang tidak kunjung padam ini.
http://anwaribrahimblog.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan