Rabu, 2 Disember 2009

Jambatan gantung dibina tanpa kod reka bentuk

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Jambatan gantung yang runtuh sehingga meragut nyawa tiga murid perempuan di Perak disahkan dibina tidak berasaskan kod reka bentuk kejuruteraan dan spesifikasi kerja yang baik.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom ketika mendedahkan perkara itu berkata, pihak kontraktor juga tidak membuat permohonan bagi mendapatkan kelulusan Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tragedi Jambatan Gantung Runtuh di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan berkata, runtuhan berpunca daripada kegagalan blok konkrit tambatan ''Pylon A' kerana tidak berupaya menampung uplift force dari back-stayed cable.

''Berdasarkan pengiraan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), beban hidup di atas jambatan yang mampu ditanggung oleh blok tambatan sedia ada hanyalah 0.08 kN/m.

''Ini bermakna bilangan maksimum murid yang boleh ditanggung oleh jambatan gantung dianggarkan seramai lapan orang sahaja (anggaran berat seorang murid 35 kilogram)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya akan mendapatkan pandangan daripada Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia dan Jabatan Peguam Negara bagi menentukan tindakan yang wajar diambil ke atas pihak-pihak berkenaan.

Dalam kejadian 26 Oktober lalu, tiga murid sekolah rendah iaitu N. Dina Devi dan M. Devatharshini dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Mambang Di Awan serta V. Divyashree dari SJK(T) Gopeng terkorban selepas dihanyutkan arus deras semasa mengikuti Kem 1Malaysia Murid-Murid Sekolah Rendah Daerah Kinta Selatan anjuran Pusat Kokurikulum negeri Perak.

Alimuddin menambah, sebelum kejadian, berlaku hujan lebat di hulu Sungai Kampar dan juga di kawasan perkhemahan itu selama hampir dua jam pada sebelah petang hingga menyebabkan paras air sungai meningkat dan arus deras.

''Pada 26 Oktober lepas, kira-kira pukul 10.30 malam setelah selesai acara ice breaking di tapak perkhemahan, guru-guru bertugas telah melepaskan murid-murid mengikut kumpulan (14-17 murid pada satu-satu masa) menaiki jambatan gantung untuk minum malam di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang.

''Terdapat sebilangan murid yang telah terlebih dahulu melintas berpatah balik ke tapak perkhemahan untuk mengambil bekas minuman," katanya.

Perbuatan itu menyebabkan pertambahan bilangan murid di atas jambatan sehingga meningkatkan bebanan.

Pertembungan itulah menjadi punca jambatan berkenaan mulai runtuh secara perlahan- lahan.

Disebabkan air sungai yang deras dan paras air tinggi, lantai jambatan menjadi senget menyebabkan sebilangan murid yang berpaut pada kabel jambatan gantung terlepas pegangan lalu hanyut.

''Kem Komandan, jurulatih, urus setia, guru pengiring, pengawal keselamatan serta beberapa pekerja yang menyediakan makanan telah terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan murid,'' katanya.

Sejurus kemudian, katanya, Pasukan Bomba dan Penyelamat serta polis tiba untuk meneruskan usaha mencari mangsa yang hanyut.

Tiada ulasan: