Jumaat, 4 Disember 2009

IJN Cipta Sejarah Perubatan Di Asia

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara baru-baru ini mencipta sejarah dalam bidang perubatan apabila muncul sebagai institusi perubatan pertama di Asia menjalankan implantasi Injap Aortia Transcatheter (Tavi) menggunakan peranti dikenali sebagai 'Corevalve' bagi merawat stenosis injap aortia yang teruk.

Penghujung bulan lepas, IJN melakasanakan dengan jayanya tiga prosedur Tavi dalam tempoh dua hari berturut-turut.

Prosedur itu dilaksanakan sekumpulan tujuh pakar perunding IJN diketuai pakar jantung, yang juga ketua pengarah eksekutif/pengarah perubatan IJN, Datuk Seri Dr Robaayah Zambahari.

ereka dibantu pakar jantung intervensional, yang juga proktor Corevalve dari Belfast, Ireland, Dr Ganesh Manoharan.

Stenosis Aorta adalah masalah biasa injap aorta yang kerap dialami golongan berusia lanjut.

"Apabila keadaan stenosis menjadi teruk, ia akan menyebabkan saluran keluar ventrikal sebelah kiri, yang merupakan kamar pengepam utama jantung, menjadi sempit.

Akibatnya, ia perlu bekerja kebih keras bagi mengepam darah yang terhalang dalam saluran keluar dan seterusnya boleh mewujudkan gejala lemah jantung seperti sesak nafas dan keletihan melampau," kata Dr Robaayah pada sidang akhbar di IJN di sini hari ini.

Beliau berkata keadaan itu akan mengurangkan pengaliran keluar darah ke organ penting lain dan boleh mengakibatkan serangan jantung, strok atau kematian mengejut.

Prosedur pertama dilakasanakan IJN pada pagi 25 November terhadap pesakit lelaki berusia 73 tahun yang mengalami penyakit jantung koronari, manakala prosedur kedua melibatkan seorang pesakit lelaki berusia 77 tahun pada petang hari yang sama.

Prosedur ketiga pula dilaksanakan terhadap pesakit lelaki berusia 76 tahun pada hari berikutnya.

Ketua Jabatan Kardiologi IJN Datuk Dr Rosli Mohd Ali berkata prosedur Tavi melibatkan kos RM112,000 bagi setiap pesakit dan kini, 12 hingga 15 pesakit sedang menunggu giliran untuk menjalani rawatan itu, yang setiap satu mengambil masa antara 45 minit dan 90 minit.

Prosedur ini pertama kali dilakasanakan di Amerika pada 2002.

Tiada ulasan: