Rakyat Marhaen
SAYA rasa orang lain juga sefaham dengan saya, bahawa tuduhan Tengku Adnan Mansor mengatakan pembangkang mengamalkan politik samseng menggunakan Bajet 2010 bagi menggulingkan kerajaan adalah satu kenyataan tidak berasas dan keluar dari mulut manusia yang sombong dan tidak pernah tunduk ke bumi. Kenyataan itu juga menggambarkan kecetakan dan kebuas jiwa Tengku Adnan.
Apakah tindakan pembangkang meminta diadakan undi belah bahagi sebagai samseng? Kitab politik mana yang dibaca dan dihafalkan oleh Setiausaha Agung Umno itu untuk berkata demikian? Apakah peluangnya menjadi Ahli Parlimen selama ini tidak mengenalkan beliau dengan peraturan Parlimen?
Apakah beliau tidak faham bahawa sistem undi belah bahagi dibolehkan atas permintaan mana-mana ahli Dewan? Ada peruntukan dalam proses pengundian di Parlimen. Permintaan pembangkang kelmarin bukannya salah. Mereka menjalankan hak dan tanggungjawab mereka mengikut lunas-lunas Parlimen. Kalau peruntukan itu tidak ada masakan Yang Dipertua Dewan membenarkannya. Perkara ini sangat mudah untuk difahami.
Apa yang perlu dianggap samseng ialah wakil UBN kerana tidak hadir yang menyebabkan kerajaan mereka nyaris-nyaris menanggung malu besar. Akibat merasa selesa dan tidak pernah terfikir sesuatu kejadian buruk boleh berlaku menyebabkan masing-masing (ahli parlimen UBN), dalam keadaan riliks dan situasi ini sudah diambil kesempatan oleh MP pembangkang yang senantiasa komited dengan tugas mereka sebagai ahli Dewan.
Janganlah pula disebabkan kebebalan diri sendiri maka ia hendak ditunding kepada orang lain. Rakyat boleh ditipu tetapi bukan untuk sepanjang masa. Tengku Adnan tidak sepatutnya melemparkan tuduhan tidak berasas dan tak masuk akal itu kepada pembangkang. Sebaliknya beliau kena kutuk dan kecam ahli Parlimen UBN yang tidak hadir.
Menuduh pembangkang kerana hendak melindungi kebusukan diri bukan sikap terpuji. Itu munafik namanya. Sesekali ada baiknya juga kalau Umno mengakui kelemahan mereka. Benar kata Nazri Aziz apa yang berlaku di Parlimen malam kelmarin itu satu pengajaran besar kepada BN. Kejadian itu harus dikaji dan bukannya dijadikan peluang untuk mengeji pembangkang.
Di Parlimen malam semalam seperti mana dilaporkan UBN hampir malu besar apabila Bajet untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) hampir ditolak apabila sokongan mengikut undi belah bahagi terhadap Bajet itu menang dengan satu undi saja. Sebanyak 63 menyokong dan 62 menolak. Manakala pengundi belah bagi diperingkat Jawatankuasa pula menang dengan tiga undi saja, 68 menyokong dan 62 menolak.
Keadaan itu katanya sungguh mencemas dan menimbulkan kemarahan Perdana Menteri. Merah padam muka Najib Razak dengan kejadian itu. Wajar kalau Najib merasa marah dan malu kerana ia menyentu wibawanya. Justeru Najib tidak patut melihat kejadian itu satu kebetulan saja. Apa yang beliau kena fikirkan apakah kejadian itu disengajakan. Bahawa sudah ada perancangan halus untuk memalukannya.
Betapa kalau Bajet itu ditolak ia menunjukkan kerajaan pimpinan Najib sangat lemah. Penolakan Bajet itu bermakna kerajaan dan kepimpinan Najib ditolak. Risiko kepada penolakan itu boleh menyebabkan Yang di-Pertuan Agong menitahkan untuk membentuk kerajaan baru dari kalangan pembangkang.
Adalah diharapkan Najib tidak membiarkan apa yang berlaku melainkan melihat ianya satu perbuatan sebotaj oleh ahli Parlimen UBN sendiri terhadap kerajaannya. Mengenai kemungkinan ada perancangan nak jatuhkan Najib saya akan ulas di lain masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan