Oleh Mohd Sayuti Omar
PROLOG: Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mohammad Zabidin Mohd Diah telah menetapkan perbicaraan kes liwat ke atas Anwar Ibrahim selama sebulan bermula pada 25 Januari. Sebelum ini Anwar mengemukakan rayuan untuk menggugurkan kes berkenaan. Walaupun Anwar membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah itu dipercayai rayuan itu akan ditolak dan perbicaraan akan dijalankan seperti mana telah ditetapkan.
DUA malam lepas saya minum kopi dengan beberapa rakan pimpinan sebuah Cabang PKR di Selangor. Cabang PKR ini saya kira yang paling aktif kerana sering mengadakan acaranya tersendiri. Cabang ini tidak payah mengharap bantuan dari wakil rakyat atau Majlis Daerah (PBT), mereka selalu buat aktiviti sendiri.
Kalau mereka pohon atau beri tahu pada wakil rakyat tetapi mereka buat lembu kenyang, mereka akan lakukan sendiri. Mereka tidak banyak menyusahkan wakil rakyat dalam melakukan kerja dan aktiviti kepartian.
Inilah contoh Cabang parti yang tulus dan ikhlas dalam perjuangan untuk memperkasakan PKR.
Dipendekkan cerita seorang pimpinan melontarkan pertanyaan yang sukar untuk saya menjawabnya. Dia bertanya mengenai perihal penasihat PKR, Anwar Ibrahim. Katanya dia tidak mahu tanya orang lain kerana orang lain beri jawaban yang tidak tepat dan bias. Katanya saya selalu memberi jawaban mengikut analisa saya sendiri dan beliau berpuas hati dan mempercayai apa yang saya katakan.
Apa yang pimpinan ini tanya bagaimana dengan Anwar apabila mahkamah telah menetapkan tarikh perbicaraan berhubung kes liwat membabitkan bekas TPM itu. Dia mahu tahu apakah akan jadi dengan Anwar kali ini. Apakah kes (dakwaan) kali ini menyebabkan Anwar akan di penjara atau tidak?
"Abang, saya mahu pandangan abang macam mana dengan Pak Sheikh kali ini?" Begitulah tanyanya. Nampak sangat dia excited dengan isu ini kerana minuman belum diminta sudah melontarkan pertanyaan yang menggaru-garu kepalanya itu. Penolakan mahkamah terhadap permohonan Anwar untuk mengugurkan kes itu nampaknya benar-benar menganggui emosinya.
Mulanya saya tidak mahu jawab kerana jawaban saya menyebabkan orang akan marah dan gerun untuk mendengarnya. Apa lagi pertanyaan dibuat secara terbuka. Tetapi kerana pemimpin ini beriya maka saya terpaksa menjawab apa yang ada dalam kepala saya atau mengikut pandangan saya tanpa mempedulikan perasaan orang lain.
"Kali ini Anwar akan kena. Kes tuduhan liwat kali ini menyebabkan Anwar akan ke Sungai Buluh," kata saya ringkas tetapi cukup menyenakkan telinga mendengarnya.
"Maksud abang, Pak Sheikh bersalah dan kena penjara?" dia mahu kepastian.
"Iya," jawab saya tegas. Saya lihat muka pemimpin ini berubah. Muka beberapa yang lain juga saya nampak berubah. Walaupun mereka cuba menyembunyikan keresahan dengan senyuman, tetapi senyum 'menonyen' saja, tidak suka dengan apa yang saya katakan.
"Macam mana abang boleh kata begitu? Bukankah apa yang berlaku sekarang ini konspirasi untuk memburukkan Pak Sheikh?" dia cuba berhujah dan tidak senang dengan jawaban itu.
"Iyalah, kerana konspirasilah menyebabkan Anwar akan dihantar ke Sungai Buloh! Kalau tidak ada konspirasi saya kira tidak mungkin pertuduhan itu dibuat. Makanya firasat saya kali ini mengatakan Anwar akan kena," balas saya sejajar dengan persoalannya.
Pimpinan ini diam seketika. Tergaman sakan. Mukanya masih kelihatan berkerut dan sukar untuk menerima apa yang saya katakan. Dia merenung tajam ke muka saya dan dapat merasakan apa yang saya ucapkan itu serius.
"Kalau Pak Sheikh dihantar ke Sungai Buloh, macam mana pula dengan Pakatan Rakyat?" tanya beliau. "Apakah akan jadi dengan PKR?" sambungnya lagi bimbang dan tidak berpuas hati. Dia ternyata jadi begitu takut dengan andaian saya itu. Dan nadanya semacam nak menyalahkan saya kerana memberi jawaban yang sangat dibencikan itu.
"Nak jadi apa, jawabnya Pakatan Rakyat akan habislah. PKR juga akan habis. Tujuan Anwar dibawa ke Sungai Buloh ialah untuk membunuh Pakatan Rakyat dan PKR," jelas saya.
Dia yang tadi baru hendak menghirup teh yang dipesannya baru tiba , membatalkan semula. Gelas yang diangkat ke mulut diletakkan semula.
"Ok bang, ini soalan terakhir dari saya, lepas ni tak ada soalan lagi," dia jadi gelabah kerana melihat saya sudah memberi warning untuk balik dan mengacah untuk bangun dan berlalu. Sebenarnya dia sampai sesudah separuh perbualan kami di kedai itu.
"Tunggu bang, satu soalan saja. ..?" mintanya bersungguh.
"Apa dia?" saya memberi peluang kepada pimimpin ini.
"Kalau abang kata begitu, bermakna habislah perjuangan Pakatan Rakyat dan PKR? Maknanya....," dia mulai cemas sehinggakan tidak dapat nak meneruskan kata-kata sambil menggeleng-geleng kepala.
Saya tersenyum dalam hati mengenang pemimpin ini. Dapat saya merasakan betapa rungsing beliau kalau apa yang saya ramalkan itu menjadi kenyataan. Ternyata dia begitu mengharap dan sayang kepada Anwar. Baginya hanya Anwar sajalah pemimpin di negara ini.
"Iya! Cuma ada satu saja jalan untuk menyelamatkan perjuangan Pakatan Rakyat dan PKR. Caranya selamatkan Anwar Ibrahim?" kata saya memberi petua.
"Nak selamat macam mana lagi bang?" soal beliau seakan sudah berputus asa. Nampaknya dia sudah benar-benar merasai risikonya terhadap apa yang saya katakan. Dia mempercayai telahan saya mengenai nasib Anwar itu.
"Nak selamat Anwar mudah sahaja, kita kena terus berusaha memperjuangkan supaya Anwar tidak dibawa ke Sungai Buloh. Kalau kita sayangkan kepada perjuangan Pakatan Rakyat dan PKR, kita juga kena korban. Kerja keras dan setia dengan perjuangan. Sekarang kena tanya diri sendiri sejauh mana kesanggupan kita untuk menyelamatkan perjuangan ini," kata saya panjang lebar sambil mengembalikan paku buah keras kepadanya. Saya berkata begitu kerana pemimpin ini ada kalanya tidak konsisten dengan prinsipnya.
"Abang yakin dengan apa yang abang katakan itu?" tekannya.
"Iya saya yakin...," balas saya tegas sambil bangun hendak berlalu. Kali ini sungguh.
"Bang tunggu dulu order satu gelas air lagi, tunggulah dulu...," dia merayu saya. Pemimpin ini tidak berpuas hati dan benar-benar gelabah dengan apa yang saya kata.
"Minta maaf saya nak balik dulu ada hal, malam besok atau bila-bila saya akan ceritakan kenapa saya katakan dalam kes liwat kali ini Anwar tidak akan dapat mengelak lagi. Saya akan hurai dan beri tahu apa yang saya tahu," kata saya sambil berlalu.
Pemimpin itu dan beberapa yang lain terkulat-kulat melihat saya telah meninggalkan kerusi. Saya rasa sebelum pertemuan itu usai mereka akan berhujah sendiri mencari sejauh mana kebenaran dan kepalsuan ramalan saya itu. Dan bila bertemu mereka di lain waktu saya akan menceritakan kenapa saya membuat ramalan itu.
Saya akan menghuraikan apa yang saya tahu di sebalik pendakwaan Anwar berhubung kes liwat kali kedua ini yang saya yakin mereka tidak dapat menganalisis dengan fakta-fakta yang akurat. Saya akan mengulasnya nanti dan ianya mungkin akan tambah mengejutkan mereka!
http://msomelayu.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan