Rabu, 2 Disember 2009

Akui pelajaran dalam bahasa ibunda lebih baik

Azamin Amin


KUALA LUMPUR : Parlimen hari ini diberitahu bahawa punca pembelajaran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK) adalah lebih baik kerana mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa ibunda.

Ini diakui sendiri oleh Timbalan Menteri Pelajaran Dr. Mohd. Puad Zarkashi ketika menjawab soalan tambahan daripada M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) berhubung pengajaran di sekolah Cina lebih baik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan isu masalah beban buku teks yang terlalu banyak dibawa oleh pelajar sekolah.

Beliau sebelum itu menjawab soalan Datuk Ismail Mohamad Said (BN-Kuala Kurau) bahawa buku teks sekolah yang dikatakan tidak meransang kefahaman pelajar dan sejauh mana buku komersial lebih baik berbanding buku teks sekolah.

Sebelum itu, Ismail mendedahkan bahawa terdapat penyelidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bahawa buku teks yang digunakan di sekolah-sekolah kurang baik berbanding buku rujukan komersial yang ada di pasaran.

Menafikan kritikan itu, Puad Zarkashi berkata, buku rujukan komersial lebih berorientasikan peperiksaan semata-mata berbanding buku teks yang dipilih, ditulis, disusun dan disesuaikan selaras dengan Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran.

"Penyediaan buku teks juga disusun dengan pelbagai kaedah pedagogi pengajaran dan pembelajaran bagi tujuan mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk memperkembangkan potensi individu secara holistik dan bersepadu.

"Hal ini juga untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmoni daripada segi intelek,rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Oleh itu, buku teks yang digunakan di sekolah lebih baik dari buku rujukan komersial,” katanya

Menjawab soalan tambahan Ismail, Mohd. Puad berkata untuk merangsang kefahaman pelajar ia bergantung kepada kaedah pengajaran guru dan sumber yang diperolehi oleh mereka.

Tiada ulasan: