Sabtu, 19 Disember 2009

Aksi memalukan skuad negara harus buka mata PSM

BERITA HARIAN ONLINE


AKSI hambar skuad sepak takraw negara terutama selepas tewas di tangan Laos bukan saja mengundang kritikan banyak pihak, malah mungkin berdepan tindakan lebih keras terutama membabitkan pembiayaan kewangan selepas ini.

Amaran itu hadir daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang jelas kecewa dengan prestasi skuad negara yang memalukan apabila tewas kepada pasukan kerdil.

“(Sepak takraw) asal namanya dari kita, tetapi Laos sudah boleh kalahkan kita, Vietnam menang menentang kita.

“Thailand tidak ada pun kita tidak boleh menang (acara double lelaki)."

Sepak takraw disasarkan membawa pulang dua emas tapi hanya mampu pulang dengan satu perak dalam acara berpasukan dan gangsa menerusi acara antara regu.

Mereka juga tewas buat kali pertama di tangan Laos, pasukan disifatkan bukan tandingan sebenar negara, dalam acara antara regu dan double, sekali gus menyingkirkan skuad negara dari buruan mencari kilauan emas.

Ahmad Shabery berkata, sepak takraw bukan sekadar sukan yang dipertandingkan di Sukan Sea, malah lebih dari itu kerana ia dikaitkan dengan maruah dan imej Malaysia sebagai negara asal sukan berkenaan.

Ditanya mengenai apakah antara tindakan yang akan diambil ke atas sepak takraw, dan sukan lain yang dianggap gagal, Ahmad Shabery menegaskan ia bergantung kepada beberapa faktor.

“Kita akan melihat bagaimana sukan itu dikendalikan oleh persatuan sukan itu sendiri, apa program dilakukan mereka termasuk disiplin dan standard dimiliki mereka apabila diperlukan.

"Dan selepas itu tentu saja kita akan melihat prestasi mereka sama ada boleh mendapat sokongan diperlukan ataupun tidak," kata Shabery.

Kini, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) seharusnya membuka mata bahawa percaturan tidak menentu badan induk itu hanya akan menyusahkan atlit dan seperti teguran Ahmad Shabery, sesuatu harus dilakukan segara supaya maruah negara tidak akan dipermainkan lagi selepas ini.

Tiada ulasan: