Isnin, 7 September 2009

Pertemuan dengan Sultan tak sentuh pengganti MB

Dr Hasan dakwa hanya bincang hal ehwal Islam di Selangor

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail


SHAH ALAM: Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menafikan beliau menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Kayangan, kelmarin, bagi membincangkan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Asas negeri itu sebaliknya berkata, pertemuan hampir tiga jam itu bagi membincangkan pembangunan Islam dan hal ehwal berkaitan umat Islam.

Pesuruhjaya Pas Selangor itu berkata, pertemuan dengan Sultan Sharafuddin selaku Ketua Agama Islam negeri itu juga bagi mendapatkan pandangan baginda mengenai perkara tertentu membabitkan Islam dan umatnya.

"Tiada kaitan (perbincangan mengenai pelantikan sebagai Menteri Besar). Kami hanya berbincang mengenai hal ehwal Islam seperti penjualan arak, bidang kuasa pegawai masjid dan mendapatkan baginda mengenai isu tertentu di Selangor," katanya.

Beliau ditemui ketika bersama-sama Sultan Sharafuddin menyertai umat Islam berbuka puasa dan menunaikan solat Tarawih di Masjid al-Munawarah di Seksyen 27, di sini, malam tadi.

Kenyataan Hasan itu disokong Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani. Beliau menegaskan pertemuan itu adalah bagi membincangkan isu agama di negeri itu.

"Tak adalah...itu temberang (dakwaan bakal menggantikan Abdul Khalid)," katanya yang enggan mengulas lanjut pertemuan lebih tiga jam antara Sultan Selangor dan Hasan itu.

Difahamkan pertemuan itu berkaitan beberapa isu membabitkan umat Islam di negeri itu yang mencetuskan kontroversi seperti penjualan arak di kawasan majoriti Islam dan pemberian kuasa kepada pegawai masjid untuk menahan orang Islam yang melakukan jenayah syariah.

Tiada ulasan: