Azamin Amin | |
KUALA LUMPUR :Tiba-tiba belakang bangunan PAS itu jadi tumpuan bak lebah mengerumuni madu. Tidak semena-mena kelibat para penghuni lorong gelap, golongan gelandangan serta marhaen, anak-anak pekerja seks, penagih dadah dan maknyah melabuhkan diri dalam sebuah program PAS. Program yang berjaya menyatukan semua golongan daripada aneka jenis latar belakang. Daripada masyarakat bawahan, miskin ataupun yatim masing-masing bersama meluangkan masa beramah mesra dengan pimpinan PAS.Sama-sama bersila, bersimpuh dan bersentuh lutut tatkala menjamu selera ketika berbuka puasa. Itulah keistimewaan dan keunikan program PAS yang diberi nama Semarak dan Semerak Ramadan PAS yang berlangsung buat julung kalinya petang semalam di belakang bangunan pejabat agung PAS Jalan Raja Laut. Ia berjaya melakarkan sejarahnya yang tersendiri dengan sambutannya yang cukup luar biasa dan luar jangka. Sungguhpun, pada asalnya penat merempuh jalan raya yang sesak menuju ke pejabat PAS ini, namun hilang lelah tatkala melihat kehadiran orang ramai dan aktiviti yang dianjurkan oleh Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat. Lebih kagum kesungguhan para petugas menjayakan program ini, sungguhpun suasana Ramadan berbaki tujuh hari dan bakal melintasi Syawal tak lama lagi. Bermula jam 2.00 petang, di bawah enam khemah 'berkipas' yang boleh menampung kehadiran lebih 200 orang, program dimulakan dengan membuka kaunter perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma daripada doktor dan pengamal perubatan alternatif yang didatangkan khas daripada Darussyifa, khidmat nasihat guaman syariah dan sivil daripada tiga peguam dan khidmat kaunseling daripada seorang pakar. Selain itu, terdapat kaunter pusat khidmat wakil rakyat kawasan Titiwangsa bagi para pengundi untuk mengajukan masalah setempat dan kaunter daftar Ahli PAS dibuka bagi yang berminat. Mengkagumkan, semua kaunter dipenuhi dengan orang ramai yang berhajat tanpa rasa segan dan silu. Tanpa kecuali Harakahdaily juga sempat menjengah satu persatu kaunter yang dibuka bagi mendapat beberapa info untuk menambah ilmu diri. Seperti di Kaunter Guaman, Harakahdaily dimaklumkan bahawa antara aduan, kes ataupun masalah yang dirujuk lebih tertumpu kepada hal ehwal rumah tangga seperti nafkah pencarian, tuntutan harta, cerai berai dan melibatkan ibu tunggal yang bermasalah. Kaunter ini, diselia oleh peguam Ahmad Zamri dan Marlina Amir. Terdapat pameran informasi undang-undang turut dipaparkan di belakang khemah bagi orang ramai mendapatkan sedikit sebanyak maklumat berkaitan antaranya seperti urusan pembahagian harta, keadilan kes rumah tangga dan juga hak-hak yang wajar diketahui umum. Tanpa kecuali risalah dan pamplet berkaitan juga turut diedarkan. Menarik perhatian, apabila seorang remaja lelaki cuba mendapatkan rawatan bengkak kaki daripada Ustaz Mohd Ali Jamil daripada Darussyifa. Bukan itu sahaja, beberapa orang bukan Islam juga turut mendapatkan khidmat nasihat Ali Jamil yang diberikan secara percuma juga. Kaunter kesihatan juga tidak menang tangan dibuatnya, apabila hadirin cuba mendapatkan nasihat para doktor yang bertugas berkaitan penyakit yang dihadapi seperti darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung. Kira-kira jam 3.00 petang,pengacara majlis berbesar hati mengumumkan sejumlah 27 orang telah mendaftar sebagai ahli PAS, yang rata-ratanya terdiri daripada remaja dan pemuda sekitar usia 18 sehingga 30 tahun. Terdapat dua tabung disediakan di dalam khemah bagi orang ramai yang berhajat menyumbangkan dana untuk disalurkan bagi tujuan aktiviti "Kami Prihatin" anjuran Parlimen Titiwangsa seterusnya untuk golongan yang kurang bernasib baik. Mencuri perhatian orang ramai apabila seorang warga emas berbangsa Cina, menderma sejumlah wang ke tabung tersebut. Sungguhpun, hujan lebat mula membasahi pekarangan kawasan program namun semangat dan keinginan orang ramai khususnya penghuni lorong 'belakang mati' untuk merapat dan mendekati, tidak patah bahkan semakin menyemarak untuk menyertai aktiviti yang sedia ada. Tidak dinafikan, di belakang lorong, terdapat juga beberapa orang penghuni yang agak segan dan malu-malu alah untuk menjengah sungguhpun dialu-alukan oleh pengacara dari masa ke semasa. Ada yang meninjau dari balik belakang bangunan, mengintai dari tepi dinding dan tingkap. Ada yang mahu tapi malu. Setelah agak lama memerhati ragam hadirin, Harakahdaily sempat beramah dan berkongsi cerita dengan dua orang saudara baru yang begitu kagum dengan program yang dianjurkan oleh PAS ini. Bagi Muhd Ali Beh Abdullah, 53 yang berasal dari Miri Sarawak dan Muhd Hassan Che Peng Abdullah, 35, program ini wajar diteruskan dan dijadikan acara tahunan kerana aktiviti yang dijalankan begitu bermanfaat buat masyarakat khususnya saudara baru seperti mereka yang dahagakan ilmu. "Saya minat Islam bila pergi masjid dengan kawan-kawan melayu. Bila saya cuba-cuba sembahyang, hati sangat tenang," kata Hassan yang memeluk agama Islam, 4 bulan lalu. Sungguhpun begitu, kedua-dua mereka melahirkan rasa kecewa dengan layanan yang diberikan oleh dua agensi agama kerajaan yang dilihat tidak mengambil berat hal ehwal kebajikan saudara baru khususnya melibatkan zakat yang tidak mereka terima. Mereka ini, adalah antara empat saudara baru yang hadir mengetahui program ini melalui iklan kain rentang yang dipamerkan di pejabat agung PAS itu. Bagi Norliyana Zanar 16, yang hadir bersama empat adik-beradiknya yang lain, begitu seronok ketika dijemput oleh pihak penganjur untuk sama-sama memeriahkan program tersebut dan dia merupakan antara 18 anak yatim Kampung Jawa yang diraikan oleh PAS. "Raya ini macam biasa dan ala kadar sahaja sahaja. Baju raya pun belum beli lagi," katanya yang telah kehilangan ayah tercinta kerana sakit asma semenjak dia tadika lagi. Nafas turun naik, namun tetap semangat Selepas solat Asar secara berjemaah bersama hadirin di Suaru Tingkat 1, Bangunan PAS itu, majlis diteruskan dengan ucapan aluan-aluan oleh 'orang kuat' dan tulang belakang program iaitu Ahli Parlimen Titiwangsa yang juga Pengerusi Lajnah terbabit Dr Lo' Lo' Ghazali. Cukup teruja melihat beliau, yang dalam keadaan kesihatan yang masih kurang stabil, masih gigih berusaha menjayakan program di samping menitipkan kalimah semangat buat hadirin. "Maafkan saya kerana bertopeng. Bukan kerana tuan dan puan tetapi kerana masalah kesihatan radang saya yang tidak mengizinkan dan cukup berisiko tinggi bila berada di khalayak umum," katanya yang telah mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) dua minggu yang lalu. Kelihatan beliau yang agak semput, dan laju turun naik nafasnya, masih bersemangat menyampaikan tazkirah dan ucapannya kepada hadirin. "Kita mahu sama-sama mengecapi kebahagiaan dunia dan akhirat. Ambillah iktibar, seorang pelacur yang memberi minum kepada seekor anjing juga dapat masuk syurga. Beliau menyeru supaya golongan yang tersasar di Lorong Haji Taib dan Chow Kit itu, mencari rahmat Allah kerana jalan untuk bertaubat dan kembali terbentang luas. "Kalau tak mampu berlari, merangkaklah secara perlahan,"jelasnya dengan nada suara yang semangat. Sungguhpun kelihatan agak penat sambil diusap belakang oleh petugas dan anak beliau, Dr Lo' Lo' mampu mencebiskan kata-kata hikmah selama 10 minit kepada hadirin, yang tekun mendengar luahannya. Sejurus itu, Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengambil tempat sekaligus merasmikan program yang cukup bermakna bagi PAS dan juga warga lorong gelap itu. "Tidak ada manusia yang tidak ada dosa. Malahan saya sendiri ada dosa. Para Nabi juga pernah buat silap. "Ini kelemahan manusia, justeru tuhan memberi peluang untuk kita bertaubat dan merahmati. Allah beri peluang supaya kita tidak terlambat. Oleh itu rebutlah peluang itu khususnya di bulan Ramadan ini," katanya yang membuat hadirin, masing-masing pegun dan khusyuk mendengar suntikan semangat daripada Presiden PAS itu. Turut hadir di perasmian itu ialah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Ustaz Mohammad Nor, Pengarah Program Brig Jen (B) Abdul Ghani Mahludin Selesai program perasmian jam 7.00 malam, orang ramai dan pimpinan PAS mula beratur mengambil makanan dan duduk bersila di lantai khemah, bersiap-sedia menantikan waktu berbuka. Kelihatan Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali; Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; Mantan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Nizar Jamaluddin; ADUN Paroi, Mohd Taufek Abdul Ghani, Presiden Anak, Mazlan Aliman dan Ketua Muslimat PAS Nuridah Salleh antara pimpinan PAS yang 'menanggalkan' gelaran Dato' mahupun Yang Berhormat untuk sama-sama merasai 'kenikmatan' dan denyut nadi bersama golongan akar umbi ini. Mereka sama-sama turun padang, berbuka puasa dengan makanan bungkus dan tidak kekok mereka menyapa orang ramai sambil bersalaman dan bertukar-tukar cerita antara satu sama lain. Dengan juadah hidangan bungkus nasi tomato berlauk ayam, bubur lambuk dan kuih agar-agar membuatkan masing-masing begitu berselera sekali menjamu tatkala, azan mula berkumandang di ruang angkasa lorong Haji Taib dan Chow Kit itu. "Program ini bagi mengeratkan hubungan dengan jiran kita dari lorong ini. Dengan sumbangan dan pemberian yang tak seberapa daripada PAS ini, walaupun tak dapat menyelesaikan semua masalah, sekurang-kurangnya dapat menceriakan Ramadan dan Aidilfitri mereka nanti, " kata Dr Hatta kepada Harakahdaily. Perkara ini turut diakui sendiri oleh Pengasas dan Penyelia Rumah Perlindungan Sinar Salam, Afidah Ab Latif, yang mengendalikan dan menyelia lebih 40 anak-anak pekerja seks, penagih dadah dan golongan gelandangan di Chow Kit. "Program ini akan lebih mengakrabkan lagi hubungan dengan golongan tidak bernasib baik. Dan program ini mesti dilakukan selalu," katanya yang terharu dengan sumbangan yang disampaikan oleh PAS. Kemudian, setelah solat Maghrib berjemaah yang diadakan di bawah khemah, majlis sumbangan derma dan cenderahati disempurnakan oleh Dr Hatta dan Ustaz Mohammad Nor. Suasana begitu ceria sekali dan 'gamat' apabila golongan gelandangan dan orang ramai khususnya kanak-kanak sejumlah 80 orang mula mengerumni kedua-dua tokoh untuk mendapatkan duit raya yang disediakan penganjur. Malam ini, malam bahagia mereka bagi anak-anak yatim, anak-anak pekerja seks, si fakir miskin,si jalanan dan golongan yang terjerumus ke kancah hitam, moga terbit rasa insaf diri setelah disantuni dan didekati PAS sendiri. Kelihatan terbit raut bahagia dan teruja di wajah mereka kerana sudi dilayan dan dimesrai oleh PAS, sekaligus tidak dipinggirkan sungguhpun di balik tabir, hidup mereka dibaluti kelam dan suram. Majlis dan program yang berlangsung selama enam jam dan berakhir 8.30 malam itu, telah mula mencebiskan nama PAS dan parti itu mula meniti dibibir mereka sejak dua tahun 'bertapak' di lorong ini. PAS mula disegani, dan semakin ramai yang mahu mengenali. Dan slogan "PAS for All" dan "Negara Berkebajikan" membuktikan kebenarannya hari ini dan lorong ini semalamnya menjadi saksi! |
Isnin, 14 September 2009
PAS santuni, dekati penghuni 'belakang mati'
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Tahniah PAS.
Catat Ulasan